Cuepacs kecam gerakan guna nama penjawat awam

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengecam sekeras-kerasnya gerakan kononnya mewakili kumpulan penjawat awam yang mendesak supaya Yang di-Pertuan Agong 'merehatkan' tugasan Perdana Menteri (PM) serta Ahli-Ahli Jemaah Menteri.

Gerakan berkenaan turut mendesak Yang di-Pertuan Agong mewujudkan 'caretaker goverment' yang diterajui Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh gerakan tersebut adalah tidak bertanggungjawab kerana menggunakan nama dan cuba mengheret penjawat awam bagi mencapai tujuan tertentu sehingga boleh mencetuskan kegelisahan awam.

"Kenyataan tersebut yang dipetik daripada akaun Facebook 'Gerakan Kakitangan Awam Malaysia' sama sekali tidak mewakili suara kira-kira 1.7 juta penjawat awam di seluruh negara.

"Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

"Mewujudkan 'caretaker goverment' seperti yang disarankan merupakan satu langkah sukar untuk dilaksanakan dan tidak mampu menyelesaikan masalah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, Malaysia sejak sekian lama telah mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan pembahagian kuasa kepada tiga bahagian dalam pemerintahan iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif.

Sebarang usaha yang boleh mengganggu kejayaan program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya akan mengheret negara dalam situasi yang tidak menentu sekalil gus memberi kesan buruk kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Cuepacs berharap pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat pemilik atau pengendali sebenar akaun Facebook yang menggunakan nama Gerakan Kakitangan Awam Malaysia.

Kata beliau, tindakan tegas dan berat perlu diambil oleh individu yang terlibat bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi sehingga mencetuskan ketidaktenteraman awam.

"Orang ramai diminta tidak berkongsi atau menyebarkan kenyataan tersebut sama ada di media sosial atau medium perhubungan lain supaya tidak mengelirukan masyarakat.

"Pihak berkuasa perlu memastikan akaun media sosial tersebut ditutup bagi menjaga nama baik penjawat awam," katanya.