Populasi dewasa di Malaysia dijangka lengkap vaksin pada Oktober

muhyiddin
muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seratus peratus populasi dewasa di Malaysia dijangka melengkapkan dos vaksin Covid-19, pada Oktober ini berikutan sasaran pencapaian program vaksinasi negara telah dipercepatkan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya tindakan mempercepatkan program vaksinasi itu termasuk meningkatkan kapasiti untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari, adalah berikutan penemuan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dan kes positif yang meningkat dengan mendadak.

“Vaksinasi adalah kunci utama kejayaan melawan Covid-19. Jadual asalnya, 80 peratus penduduk Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022.

“Sasaran kemudiannya dipercepatkan ke Disember 2021. Kini, sasaran program vaksinasi dipercepatkan lagi,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook pada Ahad.

Katanya, kerajaan juga menyasarkan 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti, manakala di Sarawak perkara itu akan dicapai, pada akhir Ogos.

“Hampir semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus pada akhir Ogos. Semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 70 peratus pada September,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan setakat ini telah menempah lebih 76.1 juta dos vaksin melibatkan 70 peratus Pfizer dan selebihnya termasuk Sinovac, AstraZeneca dan CanSino.

Beliau berkata, setakat ini, Malaysia telah menerima sebanyak 20 juta dos daripada jumlah keseluruhan vaksin yang ditempah itu.

Artikel Berkaitan:

“Dijangkakan kita akan menerima jumlah keseluruhan 30 juta dos pada akhir bulan ini, 40 juta dos pada bulan Ogos, 53 juta dos pada September dan 58 juta dos pada Oktober. Baki selebihnya akan diterima antara November depan hingga Januari 2022,” katanya. - Bernama