Rentas negeri cetus lapan kluster di Terengganu

Dr Nor Azimi
Dr Nor Azimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lapan kluster yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negeri ini adalah berpunca daripada aktiviti rentas negeri.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia juga meleburkan rekod baik Terengganu yang mengekalkan angka jangkitan harian dua digit selama tiga minggu berturut-turut sebelum ini.

"Sejarah Aidilfitri membuktikan aktiviti berhimpun masih berlaku tetapi dibuat secara senyap-senyap sesama anak-beranak supaya orang tidak tahu, namun terbongkar apabila ada yang dijangkiti.

"Kenapa kalian tidak boleh tangguh dahulu (rentas negeri) ketika varian baharu Delta sudah dikesan di seluruh negara termasuk Terengganu kerana kekuatan jangkitannya sangat luar biasa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Dr Nor Azimi turut meluahkan kebimbangan terhadap sikap masyarakat yang masih melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana dikhuatiri akan meningkat lagi jumlah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Kita tidak perlu menuding jari menyalahkan sesiapa jika masih ada segelintir yang berkeras untuk merentas negeri bagi menyambut raya hingga menjadi punca kepada kewujudan kluster baharu," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, daripada lapan kluster yang dikesan itu, antaranya berpunca daripada penganjuran majlis tahlil selama tiga malam berturut-turut hingga menyebabkan ramai pelajar tahfiz dan beberapa ustaz yang diundang positif Covid-19.

Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Terengganu, sebanyak 177 kes baharu Covid-19 serta dua kematian direkodkan di negeri ini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu menjadikan keseluruhan angka kematian akibat Covid-19 di Terengganu setakat ini ialah seramai 87 orang.