Perniagaan merudum dibadai Covid-19

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melawat pemilik bersama kilang roti Butik Roti Maria, Nurliyana Baudin untuk menyampaikan bantuan baru-baru ini.
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melawat pemilik bersama kilang roti Butik Roti Maria, Nurliyana Baudin untuk menyampaikan bantuan baru-baru ini.
A
A
A

SEREMBAN - Siapa sangka, jika dahulu mampu meraih pendapatan melebihi RM4,000 sehari daripada hasil menjual roti dan pizza, tetapi kini hendak dapat dapat RM500 pun payah.

Itulah kesan yang perlu ditanggung oleh seorang usahawan peniagaan roti, Butik Roti Maria, sejak negara dilanda pandemik Covid-19, bahkan menjadi lebih teruk apabila negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Menurut pemilik bersama kilang roti tersebut, Nurliyana Baudin, 33, perniagaan yang diusahakan oleh keluarganya itu mula merundum sebaik sahaja PKP dilaksanakan, sehingga menyebabkan mereka semua terduduk, memikirkan hutang-hutang yang perlu dijelaskan, termasuk bayaran gaji kepada tujuh pekerjanya.

"Bagi mengurangkan beban, kami terpaksa menghentikan semua pekerja dan hanya menguruskan perniagaan melalui kudrat ahli keluarga sahaja.

"Selepas beberapa minggu berlalu, kewangan semakin menipis, banyak aset perlu dicairkan untuk menampung hutang yang perlu dijelaskan, biarpun pada masa itu perniagaan tidak beroperasi sepenuhnya.

"Disebabkan itu saya dan ahli keluarga berbincang untuk tukar corak perniagaan daripada menanti orang membeli kepada menghantar bekalan dari rumah ke rumah.

"Alhamdulillah, cara ini nampaknya menjadi, malah kami menerima tempahan yang sangat memberangsangkan, sehingga kami perlu mencari beberapa ejen untuk membantu membuat penghantaran," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Nurliyana, baru sahaja perniagaan kembali pulih semasa PKP Pemulihan (PKPP), sekali lagi mereka diuji apabila negara melaksanakan PKP 3.0, dan kini daerah Seremban pula dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) sehingga 22 Julai.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada kali ini persediaan mental dan emosi sudah disiapkan lebih awal, berbanding awal PKP tahun lalu.

"Meskipun tidak boleh makan di kedai, kami kini tetap menjalankan perniagaan mengikut tempahan yang kemudiannya dihantar dari rumah ke rumah, hanya itu sahaja jalan yang ada untuk perniagaan kami terus 'hidup'.

"Walaupun margin keuntungan tidak besar berbanding menjadi pembekal roti di KLIA sebelum ini, namun kita harus terima dan bersyukur dengan ketentuan ALLAH, sekurang-kurangnya ada juga pendapatan walaupun sedikit," katanya.

Jelas Nurliyana, perniagaan legasi keluarga yang sudah beroperasi selama 20 tahun itu, akan terus dipertahankan sampai bila-bila, kerana itu adalah hasil titik peluh ayah dan ibu dalam membesarkan mereka sekeluarga.

Katanya, nasib yang menimpa keluarganya itu mendapat perhatian, apabila dia dijemput untuk menjadi salah seorang penerima sumbangan bantuan daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Menerusi program Talian Jiwa di saluran Astro Oasis 106, dia berkongsi emosi dan pengalaman sewaktu mereka sekeluarga 'jatuh terduduk' akibat perniagaan tidak dapat beroperasi sejak PKP dilaksanakan.

"Terima kasih kepada Marhaini Yusoff (Ketua Pegawai Eksekutif WUIF) dan pasukannya yang sudi menjemput saya. Program ini banyak membantu saya muhasabah dan menjadi lebih bersemangat. Sokongan seperti ini memotivasikan saya dan keluarga. Moga ALLAH merahmati kalian dan kita dapat masuk syurga ALLAH sama-sama," katanya.

WUIF berkerjasama dengan Astro Oasis dan Sinar Harian melancarkan program Talian Jiwa di saluran 106, bermula pada 15 Januari lalu.

Program Talian Jiwa sebanyak tujuh episod itu bersiaran setiap Khamis selama sejam bermula 6 petang.

Ia bertujuan membantu masyarakat yang berada dalam kebuntuan akibat pandemik Covid-19 agar mereka mendapat semangat berpandukan al-Quran dan hadis.

Sehubungan itu, orang ramai dipelawa untuk 'Subscribe' dan 'Like' di Facebook tersebut kerana banyak panduan al-Quran dan hadis yang dikongsikan dalam menghadapi tekanan jiwa.

Bagi sesiapa yang perlukan bantuan melalui platform Talian Jiwa, boleh menghubungi 011-64307480.