X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Polis tahan dua lelaki cuba samun

A
A

KUALA LUMPUR - Cubaan dua individu cuba menyamun seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Desa di sini pada Sabtu membawa padah apabila mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari ketika mangsa yang berusia 38 tahun sedang mengisi angin tayar di lokasi kejadian.

"Mangsa didatangi dua suspek yang menaiki dua motosikal, salah seorang suspek kemudiannya turun dari motosikal dan cuba meragut rantai leher mangsa tetapi tidak berjaya.

"Kedua-dua suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati terdapat tiga motosikal yang dilihat berlegar-legar di sekitar kawasan stesen minyak berkenaan sebelum dua daripadanya cuba meragut rantai leher mangsa.

"Risikan yang dijalankan kemudiannya berjaya memberkas kedua-dua suspek yang berusia 25 tahun kira-kira jam 1.30 pagi hari ini (Ahad) di sebuah kondominium di Jalan Midah 8 Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, pelbagai barangan turut dirampas dalam serbuan yang dijalankan itu.

"Antara yang dirampas adalah tiga buah motosikal, helmet, telefon bimbit dan pelbagai barangan lain.

"Kedua-dua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!