'Ada individu salah guna surat MITI pulang ke kampung'

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

JEMPOL - [DIKEMAS KINI] Larangan pergerakan rentas negeri menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selama empat hari bermula pada Ahad diputuskan kerana polis mengesan terdapat individu menyalahgunakan surat berkenaan untuk pulang ke kampung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dikesan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mei lalu hingga tercetus 36 kluster melibatkan perayaan.

“Saya fikir semua orang sudah mula bercuti hari ini. Pada Aidilfitri lalu, ada yang sanggup balik ke kampung menaiki lori dan ada guna pelbagai alasan termasuk menggunakan surat kebenaran merentas negeri untuk bekerja.

"Akhirnya selepas raya kes meningkat mendadak. Mungkin anda bole menipu polis untuk pulang ke kampung melalui jalan kebun kelapa sawit dan sebagainya, tapi anda tidak boleh menipu Covid-19," katanya kepada dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol, pada Ahad.

Tegas Ismail Sabri, masyarakat diminta mengambil iktibar daripada peningkatan kes jangkitan wabak itu yang berlaku pada Aidilfitri lalu.

Media melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai 2021 untuk pergerakan rentas negeri susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya bagi tempoh dua hari kebelakangan ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, pihaknya masih belum menerima permohonan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membina Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia(ATM).

"Kita bersedia membina empat lagi hospital medan dengan pengambilan secara kontrak membabitkan 30 doktor dan 100 petugas kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini terdapat enam hospital medan diwujudkan di Pokok Sena, Kedah; Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak; Kepala Batas, Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor Bharu, Johor dan Labuan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, saringan secara besar-besaran dan bersasar akan dilaksanakan di daerah Seremban yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, dalam tempoh dua minggu ini beliau menjangkakan kes positif Covid-19 di daerah tersebut terus menunjukkan peningkatan.

ARTIKEL BERKAITAN:Surat MITI tidak dibenarkan diguna rentas negeri