PGA tumpaskan sindiket jual burung liar

Antara burung liar yang dikesan disimpan di sebuah rumah di Bandar Bukit Mahkota.
Antara burung liar yang dikesan disimpan di sebuah rumah di Bandar Bukit Mahkota.
A
A
A

KAJANG - Sindiket menjual hidupan liar terbongkar susulan sebuah rumah di Bandar Bukit Mahkota di sini diserbu pihak berkuasa pada Sabtu, selepas dijadikan tempat menyimpan pelbagai jenis burung liar dan dilindungi.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu, seorang lelaki warga tempatan turut ditahan.

"Sebanyak 41 ekor burung jenis Murai Batu, seekor burung Punai Daun, tujuh sangkar (besi dan kayu jati ) serta telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam urusan jual beli dirampas.

"Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM66,500.

"Serbuan ini berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dan penjualan hidupan liar sekitar Lembah Klang yang menjadikan sebuah rumah di kawasan taman perumahan sebagai tempat penyimpanan dan penjualan hidupan liar yang dilindungi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah PGA Cheras bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Wilayah Persekutuan.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Artikel Berkaitan: