Azizulhasni mula congak strategi ampuh

Azizulhasni
Azizulhasni
A
A
A

JAGUH basikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang perlu mengatur strategi dengan betul bagi mencapai impiannya meraih emas Olimpik dalam acara kegemarannya keirin, yang menuntut kemahiran taktikal dan teknik tinggi dalam acara itu.

Perlumbaan keirin lapan pusingan di Velodrom Izu dengan pemandangan Gunung Fuji itu, akan menyaksikan derny (basikal elektrik) memulakan rentak dengan kelajuan sehingga 50 kilometer/sejam sebelum membolehkan pelumba melakukan pecutan pada tiga pusingan terakhir ke garisan penamat.

Mohd Azizulhasni, 33, bakal bersaing dengan 12 pencabar termasuk pemenang enam pingat emas (dalam pelbagai acara) Jason Kenny dari Great Britain yang kembali daripada persaraannya demi mempertahankan kejuaraan, juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda dan jaguh tuan rumah Yuta Wakimoto.

Untuk muncul sebagai pelumba Asia pertama menang Olimpik bagi acara keirin, pelumba yang terkenal dengan jolokan Pocket Rocketman itu, mesti menguasai dan dapat melaksanakan kesemua tiga strategi - senko, makuri dan oikumi - iaitu pecutan awal, pertengahan dan akhir.

Juara keirin dunia 2017 itu berkata walaupun senko (awal) bukan taktik mudah untuk digunakan pada perlumbaan peringkat tinggi seperti Olimpik ini, beliau telah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan buruk yang boleh berlaku memandangkan pesaing dijangka akan lebih teruja untuk menyerang awal selepas lama tidak bertanding ekoran pandemik Covid-19.

“Senko adalah kayuhan yang panjang, jadi kena pecut awal. Namun, biasanya saya cuba untuk tidak pecut awal sebab banyak guna tenaga, nanti senang bagi pelumba yang ikut kita memintas.

“Sebab itu, dalam setiap kejohanan sejak dua tahun lalu saya menghabiskan banyak masa mencuba teknik senko, pecut tiga atau dua setengah pusingan awal di hadapan, kerana sebelum ini itulah kelemahan saya

“Kita tahu kalau pecut akhir dan pertengahan, saya memang bagus dan semakin meningkat, hanya bahagian itu (senko) sahaja saya nak tingkatkan lagi, jadi semua kerja keras yang kita dah buat sejak sebelum 2020 sudah membuahkan hasil bagi saya.

Artikel Berkaitan:

“Saya boleh pecut untuk jarak yang lebih jauh, cuma sudah tentu kita perlu bersedia untuk segala kemungkinan buruk yang boleh berlaku.

Kalau kita tersekat atau perlu gunakan taktik itu, sekurang-kurangnya saya ada keyakinan untuk pergi ke depan dan pecut untuk dua hingga tiga pusingan,” kata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Mohd Azizulhasni, yang bakal beraksi di Olimpik bagi kali ke empat berturut-turut sejak Olimpik Beijing 2008, juga sedar dengan jadual yang agak menyulitkan kerana menuntut beliau dan rakan seperjuangan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan pesaing lain bertanding selama lima hari berturut-turut, iaitu pecut individu dari 4 hingga 6 Ogos dan keirin (7 hingga 8 Ogos), yang boleh membuatkan pelumba keletihan.

Bagaimanapun, jurulatih John Beasley berkata pasukannya akan memutuskan tentang sejauh mana mereka mahu menekan dalam acara pecut berdasarkan kepada mata kelayakan dan peluang memenangi pingat, agar pelumba berada dalam keadaan terbaik dalam acara keirin.

“Mereka cuba ‘membunuh’ kita dalam keirin, saya rasa untuk meletihkan sesetengah pelumba sebelum acara keirin, jadi memberi kelebihan kepada mereka (pelumba Jepun).

“Bagi kem Malaysia, kami akan bermula dengan acara pecut dan kita akan lihat sejauh mana kita boleh pergi, jika saya rasa kita tidak boleh mencapai kemenangan, kita akan membuat keputusan dan simpan (tenaga) untuk acara keirin.

Saya mempunya dua pelumba keirin terbaik di dunia,” katanya.

Mengenai pencabar, Beasley berkata pasukannya telah melakukan kajian teliti mengenai kekuatan dan kelemahan pesaing utama, namun tetap menghormati setiap pelumba bagi mengelakkan tewas pada pemenang tidak disangka.

Walaupun berbasikal trek sering mendapat perhatian dalam program Olimpik sejak temasya pertama Athens 1896, tetapi keirin, acara yang berasal dari Jepun dan popular dalam kalangan pelumba di negara Matahari Terbit itu, hanya dimasukkan dalam Olimpik ketika Sydney 2000.