Bawa 'si bulus' jumpa doktor

Kucing yang tidak diperiksa lebih awal atau belum divaksin sangat terdedah kepada penyakit berjangkit seperti virus, bakteria dan fungus.
Gambar kecil: Dr Kavindaran
Kucing yang tidak diperiksa lebih awal atau belum divaksin sangat terdedah kepada penyakit berjangkit seperti virus, bakteria dan fungus. Gambar kecil: Dr Kavindaran
A
A
A

ROYAL Canin Malaysia sekali lagi menyemarakkan Kempen 'Take Your Pet to The Vet' pada tahun ini bertujuan menyuntik kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan haiwan peliharaan dan pada masa sama mencegah penyakit lebih awal.

Pengurus Komunikasi Saintifik Royal Canin Malaysia, Dr. Kavindaran Krisnasamy berkata, tidak dinafikan ramai yang beranggapan kucing yang sihat tidak perlu dibawa berjumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan berkala.

“Pemilik perlu memahami sifat semula jadi si bulus yang sebenarnya suka menyembunyikan penyakit. Kalau anjing sakit, ‘mereka‘ akan menunjukkan tingkah laku seperti jalan terhincut-hincut, namun kucing tidak seperti itu.

“Kucing kalau tidak sihat atau sedang mengalami tertekan, haiwan ini akan lebih suka bersendirian. Perubahan sikap itulah sebenarnya menunjukkan kesakitan,“ jelasnya dalam sesi bual bersama SinarPlus secara maya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Kavindaran berkata, apabila kucing berada dalam keadaan stres, ia secara tidak langsung boleh mengundang penyakit pundi kencing seperti batu karang, jangkitan urin dan keradangan.

Justeru, doktor haiwan terlatih itu mengesyorkan agar pemilik atau penjaga membawa kucing masing-masing untuk pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Memang ada pemilik yang berat hati untuk membayar sejumlah wang untuk kos rawatan yang dianggap mahal. Namun, jika kita menerima penerangan terperinci daripada doktor pakar sendiri, kita akan memahami bahawa nilai yang dibayar untuk semua prosedur cukup berbaloi.

“Sebagai contoh, ujian darah yang dibuat boleh menguji tahap fungsi hati dan buah pinggang si bulus. Jika ada kelainan atau gangguan kesihatan berkaitan, rawatan tepat dapat diberikan lebih cepat,“ ujarnya.

Dr Kavindaran turut menegaskan, kucing yang tidak diperiksa lebih awal atau belum divaksin sangat terdedah kepada penyakit berjangkit seperti virus, bakteria dan fungus yang dilihat menjadi punca kematian nombor satu haiwan kesayangan ramai itu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau boleh, dapatkan maklumat tepat dengan doktor haiwan bertauliah mengenai cara penjagaan kesihatan kucing berbanding mempercayai perkongsian di media sosial kerana dikhuatiri akan memudaratkan lagi tahap kehidupan haiwan tersebut.

“Untuk pemeriksaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebenarnya tiada masalah kerana klinik haiwan masih beroperasi seperti biasa. Pun begitu, saya menyarankan supaya membuat janji temu lebih awal demi mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,“ katanya.

Kempen 'Take Your Pet to The Vet' yang bermula 1 Jun lalu hingga 30 November depan itu turut menyediakan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik untuk semua peserta tidak mengira usia.

Antara program yang telah diatur adalah seperti Puppy and Kitten On-Boarding Programme, Pet2Vet Contest, Jom Talk Pets! Podcast dan Pet2Vet Digital Event.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.royalcanin.com/my/take-your-pet-to-the-vet atau www.royalcanin.com/my.