Haji musim Covid-19 tahun kedua bermula

Kumpulan pertama jemaah haji tiba untuk mengerjakan tawaf al-Qudum pada Sabtu. - Foto Agensi
Kumpulan pertama jemaah haji tiba untuk mengerjakan tawaf al-Qudum pada Sabtu. - Foto Agensi
A
A
A

MAKKAH - Arab Saudi pada Sabtu mula menerima jemaah haji yang sudah menerima suntikan penuh vaksin Covid-19 bagi menunaikan Rukun Islam kelima dalam suasana pandemik untuk tahun kedua.

Musim haji pada kali ini menyaksikan penambahan kapasiti jemaah kepada 60,000 warga tempatan dan ekspatriat daripada 150 negara berbanding jumlah paling minimum kira-kira 10,000 orang pada tahun 2020.

Pada awal bulan lalu, Kementerian Haji Arab Saidi memaklumkan telah mengambil langkah ‘pencegahan kesihatan tahap tertinggi’ bagi memastikan kejayaan pengurusan ibadah haji yang efisien seperti dicapai pada haji musim pandemik pada tahun lalu dapat dikekalkan di tengah-tengah ancaman varian baharu yang semakin membimbangkan.

Jemaah pada tahun ini dipilih daripada lebih 558,000 permohonan melalui sistem pemeriksaan dalam talian yang hanya memberi keutamaan kepada individu berusia 18 hingga 65 tahun yang tidak menghidap penyakit kronik dan sudah mendapatkan suntikan penuh vaksin Covid-19.

Menurut Komander Pasukan Keselamatan Haji, Mejar Jeneral Zayed al-Tuwan, sebanyak 3,000 bas disediakan dan hanya 20 jemaah haji dibenarkan menaiki sebuah bas.

Proses sanitasi giat dilakukan untuk memastikan keselamatan para jemaah haji. - Foto AFP
Proses sanitasi giat dilakukan untuk memastikan keselamatan para jemaah haji. - Foto AFP

“Tidak ada individu dibenarkan menggunakan kenderaan persendirian walaupun mereka mempunyai permit haji yang sah,” ujarnya lagi.

Selain itu, pihak berkuasa turut menyediakan 25 laluan untuk tawaf dengan jarak 1.5 meter bagi memastikan para jemaah mematuhi peraturan penjarakkan fizikal.

Artikel Berkaitan:

Tingkat bawah dataran Kaabah disediakan untuk menampung sehingga 4,770 jemaah pada satu masa manakala 1,000 jemaah di aras dua dan 3,000 lagi di aras tiga.

Para jemaah juga dibahagikan mengikut kod warna iaitu merah, hitam, hijau dan kuning serta setiap kumpulan disediakan tempat penginapan dan bas secara berasingan.

Bagi memastikan tiada insiden individu cuba menyelinap masuk ke Masjidil Haram, pihak berkuasa turut mengetatkan kawalan keselamatan di kesemua pintu masuk dan lokasi yang terletak jauh dari jalan utama.

“Kamera termal dan pengawasan telah ditempatkan di kesemua lokasi tempat suci. Pasukan unit keselamatan khas akan berkawal di lebih 100 lokasi di sekitar kota Makkah,” jelasnya sambil menambah mana-mana penceroboh bakal didenda 10,000 riyal (RM11,204) jika ditahan pihak berkuasa.

Pada musim haji kali ini, teknologi baharu menggunakan mesin cap jari juga diperkenalkan untuk mengesahkan identiti jemaah terutamanya jika berlaku insiden kehilangan kad pengenalan selain penggunaan permit haji elektronik.

Jemaah haji yang tiba secara berkumpulan kemudiannya mengerjakan tawaf al-Qudum (tawaf selamat datang) dan kebanyakannya membawa payung berikutan cuaca panas.

"Seramai 6,000 menunaikan tawaf al-Qudum pada setiap tiga jam. Proses sanitasi giat dilakukan di dataran Kaabah setiap kali kumpulan jemaah meninggalkan kawasan itu," kata jurucakap Kementerian Haji, Hisham al-Saeed. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN:Hanya 60,000 penduduk, warga Arab Saudi dibenarkan tunai haji

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Arab Saudi iktiraf vaksin Sinovac: Zulkifli