14 anggota, pegawai polis daerah Kuantan positif Covid-19

Mohamad Noor
Mohamad Noor
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seramai 14 anggota termasuk pegawai polis daerah Kuantan disahkan positif Covid-19, manakala 88 lagi menjalani kuarantin sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, seorang pegawai kanan yang dijangkiti Covid-19 pula sedang dirawat di unit rawatan rapi.

Beliau berkata, daripada jumlah yang dijangkiti itu, empat orang berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan sembilan menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu tindakan Pejabat Kesihatan Daerah.

"Seramai 88 lagi anggota yang menjadi kontak rapat kini menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran PKPD Bersasar Lokaliti Berisiko Daerah Kuantan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Tanjung Lumpur di sini pada lewat malam Sabtu.

Mohamad Noor berkata, kes jangkitan itu berlaku dipercayai bermula pada 13 Julai lalu dan ketika itu hanya melibatkan beberapa anggota sebelum merebak dan menjangkiti anggota dan pegawai lain.

"Semua anggota dan pegawai terlibat kini dikecualikan daripada senarai penugasan. Kita berharap mereka segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa," ujar beliau.

Mohamad Noor berkata, bagi menampung kekurangan anggota untuk penugasan harian berikutan kes berkenaan, pihaknya mendapat bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

"Polis Daerah Kuantan berterima kasih kepada Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf yang prihatin atas bantuan tersebut dalam memastikan penugasan polis di daerah ini berjalan dengan baik," katanya.

Artikel Berkaitan: