Ibu kandung, teman lelaki ditahan disyaki dera dua anak

Pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua kanak-kanak tersebut mendapati terdapat kesan calar dan lebam di tangan, pipi, kaki dan dagu. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua kanak-kanak tersebut mendapati terdapat kesan calar dan lebam di tangan, pipi, kaki dan dagu. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita ditahan bersama dua lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes penderaan melibatkan dua kanak-kanak di sebuah rumah di Taman Samudera di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu berhubung terdapat dua kanak-kanak perempuan berumur dua dan tiga tahun sedang bermain tanpa pengawasan di Jalan Samudera Utara 1, Taman Samudera.

"Dua kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan tidak terurus. Siasatan dijalankan mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu kandung dan teman lelaki ibunya di sebuah rumah sewa di sebuah flat di Taman Samudera, Batu Caves.

"Pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam pada bahagian kedua belah tangan, kaki, pipi dan dagu," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dihantar untuk pemeriksaan doktor di Hospital Selayang.

"Seorang wanita tempatan iaitu ibu kandung mangsa berumur 22 tahun, seorang lelaki yang merupakan teman lelaki ibu mangsa berumur 22 tahun dan seorang lelaki iaitu penjaga mangsa berumur 35 tahun telah ditahan kira-kira jam 9.30 malam di sekitar kawasan Taman Samudera, Batu Caves bagi membantu siasatan.

"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Selayang bagi permohonan tahanan reman," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan:

"Semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod berkaitan dadah," katanya.