Lari sebelum PKPD punca angka jangkitan naik mendadak

PKPD dikuatkuasakan di Damai Apartment PJS 8, di sini tepat jam 12 tengah malam tadi.
PKPD dikuatkuasakan di Damai Apartment PJS 8, di sini tepat jam 12 tengah malam tadi.
A
A
A

PETALING JAYA - Kenaikan mendadak angka jangkitan Covid-19 di Damai Apartment, PJS 8 dipercayai berpunca daripada warga asing yang melarikan diri dari Mentari Court sebelum dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini pada 1 Julai lalu.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, pangsapuri yang mempunyai tiga blok itu mencatatkan 236 jangkitan Covid-19 dalam tempoh dua minggu terakhir dan lapan kematian mengikut rekod polis.

Menurutnya, susulan pengumuman yang dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Damai Apartment yang mempunyai 742 unit rumah itu akan dikenakan PKPD selama 14 hari bermula jam 12 tengah malam tadi hingga 31 Julai depan.

“Sebanyak 40 peratus atau seramai 1,484 daripada penduduk pangsapuri itu adalah warganegara manakala 60 peratus lagi terdiri daripada bukan warganegara seramai 2,226 orang,” katanya dalam satu sidang media sebelum pelaksanaan PKPD di sini lewat malam Sabtu.

Johary (tengah) ketika sidang media di Damai Apartment, PJS 8 lewat malam Sabtu.
Johary (tengah) ketika sidang media di Damai Apartment, PJS 8 lewat malam Sabtu.

Turut hadir, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid bagi memantau persediaan dilakukan polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dalam pada itu, menurut Johary, kesemua penduduk di pangsapuri tersebut akan disaring dan diberikan vaksin sepanjang tempoh PKPD berkenaan serta pihaknya akan mengagihkan bakul makanan untuk memastikan bekalan keperluan asas mencukupi.

Tambah beliau, pihaknya akan memohon penamatan lebih awal PKPD tersebut daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika proses saringan dan vaksinasi dapat diselesaikan segera.

Artikel Berkaitan:

“Saringan akan dilakukan ke atas semua kecuali mereka yang sudah didapati positif.

Selepas itu penduduk akan diberikan vaksin sebagaimana model yang telah dilaksanakan di PKPD Mentari Court,” tambah beliau lagi.