Political genius atau Pak Pandir moden

Gambar kecil: Tun Hamid
Gambar kecil: Tun Hamid
A
A
A

DALAM mesyuaratnya pada malam 7 Julai 2021, Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) membuat keputusan menarik diri daripada Kerajaan PN serta merta. MKT menyatakan bahawa segala panduan utama yang digariskan UMNO sebagai syarat meneruskan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan.

MKT menyenaraikan tujuh perkara di mana kerajaan PN gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat. Seterusnya MKT memutuskan:

“UMNO mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yasin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

"Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

"Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15....

"Mesyuarat MKT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government)”

ARTIKEL BERKAITAN: Tarik sokongan bukan kerana UMNO mahu PRU15 sekarang: Zahid

Apakah kesan penarikan diri daripada menyokong kerajaan PN dengan serta-merta itu? Adakah ia bererti sebaik sahaja keputusan itu dibuat dengan secara automatik dan serta-merta Muhyiddin tidak menjadi Perdana Menteri lagi dan kerajaan PN tumbang? Jawapan kepada soalan kedua adalah, “Tidak”.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, pertama, keputusan itu adalah keputusan parti. Walaupun ahli-ahli Parlimen UMNO sepatutnya turut menarik diri daripada menyokong Kerajaan PN, mereka tidak semestinya akan berbuat demikian. Mungkin mereka akan dipecat daripada parti, tetapi mereka masih tetap boleh menyokong Kerajaan PN.

Kedua, kita tidak tahu sama ada terdapat ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mungkin mengubah fikiran dan menyokong kerajaan PN.

Ketiga, selagi Muhyiddin tidak meletak jawatan atau Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Perdana Menteri baru, Muhyiddin masih menjadi Perdana Menteri.

Apakah pilihan yang ada kepada Muhyiddin? Beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15. Yang di-Pertuan Agong boleh tidak berkenan dengan nasihat itu. Dalam keadaan sekarang, PRU-15 tidak mungkin dapat diadakan.

No Image Caption

Maka, pilihan kedua beliau adalah cuba mendapat sokongan majoriti, jika boleh. Sementara itu, tunggu sahaja saat Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

Jika ia tidak dilakukan sebelum persidangan Parlimen pada 26 Julai, satu usul tidak percaya boleh dikemukakan di Parlimen. Jika usul itu kalah, Kerajaan PN selamat. Jika usul mendapat sokongan majoriti, Muhyiddin hendaklah meletak jawatan atau beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15. Yang di-Pertuan Agong boleh tidak berkenan dengan nasihat itu. Dalam keadaan sekarang, PRU-15 tidak mungkin dapat diadakan.

Perhatikan dalam kedua-dua pilihan yang disebut di atas penyelesaian yang paling mudah ialah Muhyiddin meletak jawatan. Sanggupkah beliau berbuat demikian?

Berbangkit daripada keputusan MKT UMNO itu, apakah pilihan yang ada kepada Yang di-Pertuan Agong? Baginda, atas nasihat Muhyiddin, boleh membubar Parlimen dan mengadakan PRU-15. Yang di-Pertuan Agong boleh tidak berkenan dengan nasihat itu. Dalam keadaan sekarang, PRU-15 tidak mungkin dapat diadakan.

Pilihan yang kedua ialah bagi Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu. Perhatikan, dalam keadaan sekarang, sama ada Muhyiddin meletak jawatan atau tidak, pilihan paling mudah bagi Yang di-Pertuan Agong ialah melantik seorang Perdana Menteri baharu, itu pun jika pada Seri Paduka Baginda ada seseorang yang mempunyai sokongan majoriti.

UMNO mendesak agar Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

Sebenarnya tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik seorang Perdana Menteri untuk suatu tempoh yang terhad. Perdana Menteri itu boleh memberi akujanji politik bahawa beliau hanya akan memegang jawatan itu bagi sesuatu tempoh tertentu dan meletak jawatan apabila sampai masanya.

Jika beliau menunaikan janjinya, tiada masalah. Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Perdana Menteri sementara itu, membubarkan Parlimen dan menitahkan supaya PRU-15 diadakan. Selepas itu, seorang Perdana Menteri tetap yang dipilih oleh rakyat akan menubuh dan mengepalai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Demokrasi kembali beroperasi semula.

No Image Caption

Merujuk kepada perenggan 8 dan 9 keputusan MKT itu, bagaimana penyampaian tahap atau kejayaan yang dicapai dalam menangani Covid-19 dan masalah yang disebabkan olehnya akan diukur?

Perenggan 10 keputusan MKT itu juga menegaskan bahawa UMNO tidak sama sekali akan menyokong sebarang usaha mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).)

Soalannya, bolehkah seseorang di luar PH dan PN mendapat majoriti untuk menubuhkan sebuah kerajaan dan mengekalkannya? PH masih mantap dengan bilangan Ahli-Ahli Parlimennya (+ Pejuang) yang mungkin mempunyai majoriti.

Sebaliknya, kerajaan PN tanpa UMNO (tidak kira berapa orang yang mematuhi keputusan MKT itu) besar kemungkinan akan kehilangan majoriti. Tanpa sokongan PH dan PN, dari mana kerajaan baharu tajaan UMNO itu akan mendapat majoritinya?

Saya khuatir, tindakan UMNO itu akan menyerah balik kerajaan yang diperoleh daripada PH itu kepada PH semula. Jika itu berlaku, Datuk Seri Zahid Hamidi dan ahli-ahli MKT yang menyokongnya bertanggungjawab kepada bangsa Melayu. Mereka adalah Pak Pandir moden.

Sebaliknya, jika Perdana Menteri baharu itu memperoleh majoriti dalam Parlimen dan dapat mengekalkan kerajaan sementaranya, dapat menyelesaikan masalah Covid-19 dalam tempoh yang ditetapkan, meletak jawatan dan menasihatkan YDPA menitahkan supaya PRU-15 diadakan, maka ahli-ahli MKT itu patutlah diberi penghormatan sebagai political genius.

Perdana Menteri sementara itu pula patutlah dinobatkan sebagai Perdana Menteri tetap selepas PRU-15.

Sama-samalah kita tunggu untuk melihat kedatangan semula political genius atau Pak Pandir moden. Yang menakutkan ialah pertaruhannya terlalu besar, masa depan bangsa Melayu.

* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara