Krisis tidak berkesudahan di Lubnan

Pertempuran ganas tercetus antara penyokong Hariri dan pasukan keselamatan di Beirut. - AFP
Pertempuran ganas tercetus antara penyokong Hariri dan pasukan keselamatan di Beirut. - AFP
A
A
A

BEIRUT - Lubnan kini berdepan dengan pergolakan politik terbaru berhubung pelantikan seorang Perdana Menteri yang didakwa membentuk sebuah kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah ekonomi di negara tersebut.

Krisis itu tercetus selepas bakal calon Perdana Menteri, Saad Hariri menarik diri daripada membentuk sebuah kerajaan gara-gara beliau berbalah dengan Presiden Michel Aoun yang telah menolak senarai barisan Kabinet dikemukakannya.

Kedua-dua mereka tidak mampu untuk menyelesaikan perbalahan mereka walaupun Aoun melantik Hariri sebagai calon Perdana Menteri pada Oktober 2020.

Sebelum ini, Hariri dan parti politiknya iaitu Pergerakan Masa Depan menegaskan bahawa sebuah kerajaan teknokrat akan dibentuk dengan tumpuan untuk melakukan perubahan di Beirut.

Hariri mahu membentuk sebuah Kabinet dibarisi 24 anggota teknokrat dan perwakilan yang adil antara Muslim dan Kristian.

Namun, Aoun daripada Parti Pergerakan Bebas Patriotik enggan menerima senarai nama pilihan Hariri malah presiden itu turut mendapat sokongan kuat daripada kumpulan Hizbullah.

Hariri merupakan tokoh Sunni yang paling berpengaruh di Lubnan dan pernah menjadi Perdana Menteri pada 2009 hingga Oktober 2019.

Beliau bagaimanapun terpaksa meletak jawatan pada Oktober 2019 ekoran protes antikerajaan yang mengutuk kelas politik dan menuntut pembaharuan besar di Beirut.

Artikel Berkaitan:

Lubnan mempunyai 18 komuniti agama yang berbeza yang menyebabkan berlakunya perkongsian kuasa di negara berkenaan.

Berdasarkan perkongsian kuasa itu, jawatan Presiden dipegang oleh individu beragama Kristian Maronite dan tokoh Sunni pula memegang jawatan Perdana Menteri manakala Speaker Parlimen pula perlu digalas oleh ahli politik berfahaman Syiah.

Saad Hariri
Saad Hariri

Buat masa ini, jawatan Perdana Menteri sementara dipegang oleh Hassan Diab yang dilantik pada Januari 2020 bagi menggantikan Hariri.

Namun, beliau juga bertindak melepaskan jawatannya selepas kejadian letupan menggemparkan di Pelabuhan Beirut yang mengakibatkan lebih 200 orang terbunuh manakala kira-kira 6,000 orang cedera dan turut memusnahkan sebahagian besar kawasan di sekitarnya.

Berikutan penolakan Hariri untuk menubuhkan Kabinet, Presiden negara itu akan memanggil ahli Parlimen untuk bersidang bagi melantik Perdana Menteri baharu.

Selepas insiden itu, stesen TV, Al Jadeed memetik kenyataan Hariri melaporkan bahawa partinya tidak akan mengumumkan sebarang nama untuk mengisi jawatan Perdana Menteri.

Setakat ini, tidak ada ahli Parlimen yang dianggap sesuai untuk memegang jawatan itu yang perlu diisi oleh tokoh yang berfahaman Sunni.

Sebagai ahli politik paling berpengaruh di Lubnan, Hariri nyata mendapat sokongan daripada penduduk Muslim Sunni di negaranya dan Mesir.

Bagaimanapun, sokongan daripada Arab Saudi terhadapnya semakin menurun sejak beberapa tahun lalu.

Letupan menggemparkan di Pelabuhan Beirut pada Ogos tahun lalu memburukkan lagi ekonomi Lubnan. - AFP
Letupan menggemparkan di Pelabuhan Beirut pada Ogos tahun lalu memburukkan lagi ekonomi Lubnan. - AFP

Perbalahan politik itu berlaku ketika Lubnan yang mempunyai hampir tujuh juta penduduk dan didiami oleh kira-kira 1.5 juta pelarian kini menghadapi kadar inflansi makanan sebanyak 400 peratus,

Ketika ini, hospital di Beirut dibanjiri pesakit Covid-19 dan pasukan tentera tidak lagi berkemampuan untuk membayar gaji anggota mereka.

Selain itu, bekalan minyak elektrik dan perubatan juga semakin berkurangan di negara tersebut.

Nilai mata wangnya turut menurun apabila para pengurup wang mendakwa urus niaga bagi setiap satu dolar Amerika Syarikat (RM4.21) bersamaan 20,100 pound Lubnan (RM56) manakala separuh penduduknya menjadi miskin akibat krisis ekonomi.

Pada masa ini, beberapa buah negara masih enggan memberikan bantuan kewangan kepada Lubnan sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk bagi menangani pembaharuan dan memerangi rasuah.

Berikutan situasi politik yang gawat itu, beberapa ahli politik dan penganalisis berpendapat sukar untuk melihat sebuah kerajan baharu terbentuk buat masa ini dan mereka menganggap keadaan itu akan berlanjutan sehingga pilihan raya Parlimen diadakan pada tahun depan.

Namun, ketika pergolakan baharu itu berlaku dan penyelesaian politik gagal dicapai, Hariri hanya berkata, 'mudah-mudahan Tuhan akan membantu negara ini'.