X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Jangkitan Covid-19 di IPD Kota Setar terkawal

Gambar hiasan.
A
A

ALOR SETAR - Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan terdapat kes jangkitan Covid-19 melibatkan 50 tahanan dan empat anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini.

Beliau bagaimanapun berkata, penularan wabak di IPD itu, yang dikesan sejak awal bulan ini adalah terkawal selepas hampir kesemua tahanan positif dipindahkan ke tiga pusat tahanan lain di negeri itu yang memiliki kemudahan rawatan dan kuarantin pesakit Covid-19.

"Mereka ini didapati positif hasil ujian saringan tahanan yang dijalankan. Kesemua mereka telah dihantar ke tiga pusat tahanan untuk tindakan selanjutnya memandangkan pusat tahanan tersebut mempunyai fasiliti sewajarnya untuk merawat mereka manakala empat tahanan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Bagi anggota polis di IPD Kota Setar pula, jumlah pegawai dan anggota yang dijangkiti adalah seramai empat orang dan seorang daripadanya telah dibenarkan pulang ke rumah manakala yang lain sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kulim," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Kamarul Zaman berkata, proses sanitasi juga telah dilakukan bagi mengekang penularan di IPD itu.

"Kita telah menjalankan perpindahan tahanan dan lokap berkenaan tidak lagi digunakan untuk sementara waktu untuk tahanan yang baharu bagi tujuan proses sanitasi.

"Saya meminta orang ramai tidak perlu bimbang kerana kita sentiasa berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengatasi jangkitan ini dan jangan berkongsi berita tidak tepat sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Kamarul Zaman berkata demikian ketika diminta mengulas situasi penularan Covid-19 di IPD Kota Setar berikutan beberapa mesej tular yang meminta orang ramai tidak ke IPD itu dan balai polis lain kerana ramai pegawai serta anggota polis dijangkiti virus tersebut.

Pada Jumaat, Majlis Keselamatan Negara memaklumkan satu kluster baharu telah dikesan di Kedah iaitu Kluster Kolam Air 2 yang melibatkan tahanan dan kakitangan sebuah pusat tahanan yang terletak di Jalan Kolam Air, Alor Setar. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!