Sabah tidak benarkan rumah terbuka, ziarah kubur pada Aidiladha

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Aktiviti rumah terbuka, jamuan, kunjung-mengunjung dan ziarah tanah perkuburan tidak dibenarkan di Sabah sewaktu sambutan Aidiladha bagi membendung peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, bilangan jemaah masjid dan surau bagi Solat Sunat Aidiladha dikurangkan kepada satu pertiga ruang solat atau maksimum 30 jemaah atau yang mana lebih rendah.

“Bilangan pengendali sembelihan korban adalah dikurangkan kepada 15 orang sahaja dan semua aktiviti perayaan Aidiladha di lokaliti PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat) adalah tidak dibenarkan,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu malam.

Jurucakap Covid-19 kerajaan negeri Sabah itu berkata. peningkatan mendadak kes direkodkan pada Sabtu iaitu 647 kes berbanding 326 kes pada Jumaat adalah berpunca daripada saringan yang dilakukan terhadap kluster sedia ada.

Katanya, saringan kluster sedia ada itu merekodkan 287 jangkitan iaitu 44.4 peratus daripada kes yang dicatatkan hari ini manakala saringan kontak rapat mengesan 220 kes baharu atau 34 peratus.

Beliau berkata, saringan bersasar pula merekodkan 63 kes atau 9.7 peratus, saringan bergejala 47 kes atau 7.3 peratus dan selebihnya saringan kategori lain.

"Daerah Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi dengan jumlah kes baharu sebanyak 312 kes pada hari ini dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 204 kes dikesan dari Kluster Tembok Kota Kinabalu di Penjara Kepayan," katanya.

Masidi juga berkata, satu kluster baharu direkodkan pada Sabtu iaitu Kluster Jambatan Liawan di Keningau yang setakat ini mencatat 45 kes kumulatif merebak melalui jangkitan dalam komuniti.

Artikel Berkaitan:

“Penularan jangkitan kluster ini juga disyaki berpunca daripada pergaulan golongan remaja di kampung dan kemudian merebak kepada ahli keluarga melibatkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Tuarid Taud dan Lingkudau di daerah Keningau,” katanya.

Beliau berkata, kes indeks kluster itu merupakan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dikesan positif Covid-19 dalam saringan bergejala pada 14 Julai lalu di sebuah klinik swasta di Keningau dan seramai 256 kontak telah disaring dalam kluster tersebut.

Masidi juga berkata, 199 pesakit Covid-19 sembuh pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 70,957 orang manakala 2,776 pesakit sedang menerima rawatan. - Bernama