X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

58 kes positif Covid-19 libat staf, pesakit Hospital Alor Gajah, ahli keluarga

Hospital Alor Gajah. - Gambar hiasan
A
A

MELAKA - Sebanyak 58 kes positif Covid-19 dikesan melibatkan Kluster Paya Datuk yang terdiri daripada petugas dan pesakit Hospital Alor Gajah serta ahli keluarga mereka dalam tempoh seminggu ini.

Exco Kesihatan Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu, 16 individu membabitkan petugas hospital itu, pesakit (32 orang) dan ahli keluarga (10 orang).

Beliau berkata, terdapat lima kematian dilaporkan di bawah kluster tersebut melibatkan pesakit berusia lebih 60 tahun dan kes masih dalam siasatan untuk disahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Hospital Alor Gajah telah mula menerima dan merawat pesakit Covid-19 sejak dua minggu lalu dengan menyediakan 10 katil untuk pesakit wabak berkenaan dan satu katil unit rawatan rapi (ICU).

"Pada 10 Julai lalu, terdapat dua kes Covid-19 melibatkan kakitangan Wad 2A Hospital Alor Gajah dilaporkan dan punca jangkitan penularan kes masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini malam Sabtu.

Menurutnya, susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerusi pihak pengurusan Hospital Alor Gajah telah mengambil beberapa tindakan segera bagi membendung penularan jangkitan berkenaan termasuk menjalankan aktiviti pengesanan dan saringan kontak.

Katanya, kemasukan pesakit ke Wad 2A dan 2B ditangguhkan sehingga kerja-kerja sanitasi selesai dilakukan dan keadaan penularan adalah terkawal.

Rahmad berkata, selain itu, semua kes bukan Covid-19 yang perlu mendapatkan rawatan lanjut akan dirujuk ke Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak.

"Bagi pesakit kes ringan dan bukan kecemasan digalak untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Alor Gajah yang beroperasi sehingga jam 9.30 malam pada hari bekerja dan klinik berhampiran namun perkhidmatan kes kecemasan masih diteruskan di hospital tersebut," katanya.

Rahmad berkata, pihaknya berharap penularan jangkitan Covid-19 di Hospital Alor Gajah akan dapat dikawal segera menerusi langkah kawalan dan pencegahan yang dilakukan pengurusan hospital tersebut.

Dalam pada itu, katanya, semua pihak juga digesa sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan, berada di rumah dan patuh pada amalan normal baharu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!