'Jual durian murah nak beri semua merasa'

Pemilik kedai 9932 Durian Stall Wan Mohd Faizal Wan Mohd Noor, 39, menunjukkan durian Musang King yang di jual di gerainya di Jalan Tok Kenali Wakaf Stan di sini.- Foto Bernama
Pemilik kedai 9932 Durian Stall Wan Mohd Faizal Wan Mohd Noor, 39, menunjukkan durian Musang King yang di jual di gerainya di Jalan Tok Kenali Wakaf Stan di sini.- Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Ketibaan musim durian tetap dinantikan kalangan penggemar raja buah itu yang tidak melepaskan peluang untuk menikmatinya walaupun pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara masih berkuat kuasa di Kelantan ketika ini.

Namun, menyedari mungkin kebanyakan masyarakat mengalami masalah kewangan susulan perintah tersebut, seorang peniaga buah-buahan secara kecil-kecilan menjual pelbagai jenis durian pada harga serendah RM15 sekilogram dan ke atas, mengikut varieti.

"Saya jual murah durian ini sebab nak bagi semua penggemar durian merasainya. Tambahan pula, ramai yang mungkin menghadapi masalah kewangan sekarang," kata Wan Mohd Faizal Wan Mohd Noor, 39, yang merupakan pemilik kedai buah-buahan dinamakan 9932 Durian Stall.

Lebih menarik lagi, kedainya yang terletak di tepi Jalan Tok Kenali, berdekatan Wakaf Stan di sini turut menjual durian kampung secara 'lelong' setiap hari, iaitu pelanggannya boleh membeli seberapa banyak durian yang boleh dimuatkan di dalam satu beg plastik bersaiz 'XL'.

Menjelas lanjut kepada Bernama, Wan Mohd Faizal berkata, jualan secara pukal berkenaan yang bermula pada 17 Jun lepas hingga kini, menawarkan durian kampung jenis gred BC yang dijual pada harga siling iaitu RM20, manakala gred A (RM50) dan Kahwin Campur (RM70), masing-masing bagi satu beg plastik.

"Pelanggan beli, kemudian akan pilih dan ambil seberapa banyak durian mereka mahu, asalkan penuh satu beg plastik dan selagi mereka boleh bawa.

Orang ramai membeli durian di gerai 9932 Durian Stall di Jalan Tok Kenali Wakaf Stan di sini.
 - Foto Bernama
Orang ramai membeli durian di gerai 9932 Durian Stall di Jalan Tok Kenali Wakaf Stan di sini.
 - Foto Bernama

"Alhamdulillah, jualan ini mendapat sambutan dalam kalangan penggemar durian yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk di sekitar sini," katanya yang mengusahakan kedai buah-buahan itu sejak lima tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Faizal turut berkata kebiasaannya, puluhan pelanggan mula beratur di luar kedainya seawal 9 pagi, bagi menunggu giliran untuk membeli dan memilih durian kampung yang dijual secara longgokan itu.

Ujarnya, bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan Covid-19, hanya empat pelanggan dibenarkan memilih durian yang dibeli mereka dalam masa sekurang-kurangnya lima minit untuk mengelakkan berlaku kesesakan.

Wan Mohd Faizal juga berkata, hasil keuntungannya mampu mencecah puluhan ribu ringgit dengan kira-kira seberat 12 tan durian terdiri daripada pelbagai jenis termasuk Musang King, terjual dalam sehari.

"Bekalan durian ini, saya borong pada harga berpatutan daripada pekebun-pekebun kecil di seluruh Malaysia antaranya Perak, Johor serta Kelantan," katanya yang menjual durian jenis Musang King pada harga RM25 sekilogram.

Sementara itu, ketika ditemui, seorang pelanggan Nik Izwandi Nik Ahmad, 29, berkata konsep jualan sebegini amat berbaloi memandangkan dirinya adalah penggemar durian sejak kecil lagi.

"Saya dah lama cari peniaga yang jual durian dengan harga berpatutan tanpa ikut timbang. Memang puas hati sebab dapat beli lebih 10 biji durian kampung gred A sekali gus dengan harga berpatutan iaitu RM50 satu beg plastik," katanya. - Bernama