668 maut dalam perjalanan ulang alik tempat kerja: Perkeso

John (berdiri, tengah) dan Mohamad (berdiri, dua dari kiri) bergambar bersama penerima jaket keselamatan dan topi kaledar pada majlis berkenaan, di sini, hari ini.
John (berdiri, tengah) dan Mohamad (berdiri, dua dari kiri) bergambar bersama penerima jaket keselamatan dan topi kaledar pada majlis berkenaan, di sini, hari ini.
A
A
A

SITIAWAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan jumlah kematian pekerja akibat kemalangan berulang-alik ke tempat kerja dua kali ganda lebih tinggi daripada kematian akibat kemalangan di tempat kerja, tahun lalu.

Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso, John R Marin berkata, jumlah kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso pada 2018 adalah sebanyak 72,631 kes, di mana 48 peratus atau 35,195 kes daripadanya adalah kes kemalangan perjalanan semasa berulang-alik ke tempat kerja.

"Daripada jumlah ini terdapat 666 pekerja maut akibat kemalangan perjalanan berbanding 222 kematian akibat kemalangan di tempat kerja.

"Situasi ini amat membimbangkan kerana secara purata dua kematian akibat kemalangan perjalanan pekerjaan dilaporkan kepada Perkeso setiap hari," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Bersama Pekerja Inisiatif Perkeso dan PDRM Peringkat Zon Utara, di sini, hari ini.

Katanya lagi, daripada jumlah kemalangan pelbagai kes tersebut, sebanyak 3,194 dilaporkan berlaku di Perak di mana sejumlah 56 kematian atau lapan peratus kemalangan maut adalah dari negeri ini.

Menurut John, peratusan kes kemalangan perjalanan semasa berulang alik ke tempat kerja juga menunjukkan peningkatan ketara pada 2018 sebanyak 48 peratus berbanding sekitar 30 peratus sahaja bagi tahun-tahun sebelumnya.

"Oleh itu, usaha bersepadu antara Perkeso, PDRM, majikan dan agensi-agensi lain dalam kempen kesedaran keselamatan jalan raya ini adalah usaha untuk memantapkan pendekatan 3E iaitu Education, Enforcement dan Engineering bagi mengurangkan kemalangan maut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, faktor keletihan bekerja dan tergesa-gesa ke tempat kerja merupakan antara penyumbang kepada kemalangan perjalanan semasa berulang-alik ke tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

“Kadar kemalangan yang meningkat boleh menjejaskan perbelanjaan pengurusan syarikat atau kilang kerana perlu merekrut orang baru dan begitu pemberian pampasan Perkeso kepada mangsa dan waris kemalangan akan meningkat,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, John mendedahkan kajian yang dijalankan oleh pihaknya bersama universiti awam menunjukkan lebih 52 peratus kemalangan perjalanan berlaku dalam perjalanan pergi ke tempat kerja dan hanya dalam lingkungan lima kilometer sahaja daripada destinasi.

“Tambahan lagi, 65 peratus kemalangan perjalanan melibatkan golongan muda berumur bawah 40 tahun, manakala 80 peratus adalah golongan pekerja lelaki.

“Malangnya, 76.9 peratus kemalangan perjalanan ke tempat kerja membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berbanding kenderaan lain,” katanya.