Selangor, KL kekal Fasa 1 PPN

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) ketika menyertai serbuan Ops Patuh di sebuah kilang pembuatan logam di Bukit Tinggi. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) ketika menyertai serbuan Ops Patuh di sebuah kilang pembuatan logam di Bukit Tinggi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selangor dan Kuala Lumpur kekal dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun kerajaan telah mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim dan lokaliti di dua negeri terbabit pada Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun nilai ambang vaksinasi 10 peratus populasi dewasa sudah dicapai namun kes Covid-19 masih tinggi dan tahap penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) masih kritikal.

"Nilai ambang tiga indikator utama di Selangor dan Kuala Lumpur perlu dicapai sebelum beralih ke Fasa Dua," menurutnya dalam kenyataan berhubung perkembangan PPN dan PKPD pada Sabtu.

PKPD di 34 mukim di Selangor dan sembilan lokaliti di Kuala Lumpur, yang bermula 3 Julai lepas, ditamatkan pada Jumaat setelah kerajaan meneliti pembentangan situasi semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, selepas ini PKPD akan dikenakan ke atas lokaliti yang merekodkan trend peningkatan kes Covid-19 mendadak.

Ismail Sabri turut mengulangi bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang kerap tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN dan tidak akan teragak-agak menutup operasi premis atau kilang mereka serta-merta.

Beliau berkata, sebanyak 2,239 kilang, 14,551 premis perniagaan, 793 tapak pembinaan dan 293 asrama penempatan pekerja turut diperiksa pada Sabtu dan hasilnya, sebanyak 64 premis diarah tutup kerana gagal patuh SOP ditetapkan kerajaan.

Sehubungan itu, Ismail Sabri meminta pekerja melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya majikan mengambil tindakan beroperasi tanpa kebenaran atau tidak menyediakan tempat kerja yang mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha sektor ekonomi terutama kilang-kilang yang tidak mematuhi SOP atau mengingkari arahan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, Op Patuh juga akan dipergiat bagi memastikan pematuhan tinggi oleh premis perniagaan dan kilang serta meningkatkan kesedaran majikan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan pekerja sentiasa dijaga sekiranya diberi kebenaran beroperasi oleh kerajaan.

Sementara itu, seramai 433 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP PPN pada Jumaat dan daripada jumlah itu, 408 dikompaun dan 25 lagi direman manakala 39 pendatang asing tanpa izin pula ditangkap dengan empat kenderaan darat dirampas menerusi Op Benteng. - Bernama