Dua kanak-kanak didera pengasuh, tiga termasuk suami isteri ditahan

Ayob Khan - Foto Bernama
Ayob Khan - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU- Kecederaan yang dialami dua adik-beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun telah membongkar penderaan yang dilakukan pengasuh dan ahli keluarganya, dipercayai dengan cara memukul, menyepak dan memijak mangsa.

Akibat penderaan yang dilakukan, kedua-dua kanak-kanak itu mengalami kecederaan tisu lembut dan kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah menerima satu laporan berkenaan penderaan yang dilakukan terhadap mangsa ketika mereka berada di sebuah rumah di sekitar Taman Bukit Kempas, Johor Bahru pada Jumaat, jam 5.31 petang.

“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara telah berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian ini.

“Suspek utama merupakan pasangan suami isteri iaitu seorang wanita warga tempatan, berumur 37 tahun yang juga pengasuh kepada kanak-kanak itu, dan suspek kedua adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 57 tahun manakala suspek ketiga adalah seorang remaja perempuan bawah umur yang merupakan anak saudara kepada pasangan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Ayob Khan, hasil siasatan mendapati, kedua-dua mangsa telah dihantar ke rumah pengasuh itu untuk dijaga sejak tahun 2018 ketika mereka berumur satu tahun dan enam bulan memandangkan ibu bapa mangsa bekerja sebagai operator kilang dan tukang masak.

Bagaimanapun, pada 10 Jun lalu kira-kira jam tiga petang, kedua-dua mangsa dipercayai telah didera oleh pengasuhnya dengan cara memukul, menyepak dan memijak kedua-dua mangsa.

Difahamkan, sebelum ini mangsa juga pernah dilihat didera oleh pengasuh dan ahli keluarganya.

Artikel Berkaitan:

“Reman telah dipohon terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan telah mendapat kebenaran selama tujuh hari sehingga 23 Julai bagi pasangan suspek suami isteri itu manakala atas faktor bawah umur, reman bagi suspek ketiga telah diluluskan selama tiga hari sehingga 19 Julai.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” jelasnya.