PKPD: Selangor pastikan bakul makanan disediakan dalam 48 jam

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memastikan bekalan bakul makanan disediakan kepada penerima di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak lewat daripada 48 jam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataannya berkata, ujian saringan Covid-19 juga akan dilakukan kepada semua penduduk dalam lingkungan PKPD terbabit bagi tujuan pengasingan.

"Saringan Covid-19 akan dilakukan kepada semua warga dalam lingkungan PKPD terbabit yang mana tindakan berikut akan diambil, warga yang positif akan diasingkan bagi tujuan pemantauan dan rawatan bersesuaian dan warga didapati negatif akan divaksin oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan PKPD bagi melancarkan operasi dan mencapai beberapa ketetapan yang telah dibuat pada mesyuarat berkenaan.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat empat lokaliti yang akan menjalani PKPD berkuat kuasa Ahad 18 Julai 2021 jam 12.00 tengah malam.

Menurutnya, lokaliti tersebut terletak di empat daerah iaitu Petaling (Damai Apartment PJS 8), Hulu Langat (Jalan Pandan Indah), Klang (Jalan Batu Nilam, Bukit Tinggi) dan Gombak (Taman Samudera) yang dijangka tamat pada 31 Julai.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pelaksanaan PKPD berkenaan akan mengguna pakai Tatacara Pengendalian Piawai atau prosedur operasi standard (SOP) PKPD sedia ada seperti sebelum ini.

"Dengan itu, saya meminta semua pihak yang terkesan untuk tidak panik dan tetap kekal di lokaliti terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada sebarang pergerakan masuk dibenarkan oleh pihak berkuasa ke atas mana-mana warga yang telah meninggalkan kawasan tersebut lebih awal," katanya.