150,000 Bakul Prihatin diagihkan di Ampang sejak PKP

Zuraida (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan Bakul Prihatin Ampang. -Foto: Facebook Zuraida
Zuraida (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan Bakul Prihatin Ampang. -Foto: Facebook Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 150,000 Bakul Prihatin diagihkan kepada penduduk Parlimen Ampang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sumbangan berkenaan bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah, dalam tempoh pandemik ini, sebanyak 150,000 Bakul Prihatin telah berjaya diserahkan kepada penduduk Ampang yang kesempitan.

"Bakul Prihatin Ampang yang mengandungi keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum, tin sardin, biskut, teh, minyak masak, garam, bihun dan rempah ratus ini diharap dapat mengurangkan beban yang ditanggung penerima.

"InsyaALLAH, saya melalui kapasiti yang ada akan membantu seramai mungkin penduduk memerlukan di kawasan Parlimen saya," kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan ke Pusat Khidmat Parlimen Ampang bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Sabtu.

Dalam pada itu, Zuraida menggesa penduduk yang terkesan dan masih memerlukan bantuan akibat pandemik Covid-19 agar menghubungi pihak Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan Parlimen berkenaan.

"Buat penduduk Parlimen Ampang yang terkesan dan memerlukan bantuan, boleh terus hubungi talian hotline Pusat Khidmat Parlimen Ampang di 011-23319746 atau 03-42655737," katanya.

Artikel Berkaitan: