Atlet Para mampu lakar kejayaan

Reezal Merican - Foto Bernama
Reezal Merican - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican optimis kontinjen Malaysia mampu melakar kejayaan lebih cemerlang di temasya Sukan Paralimpik Tokyo pada bulan depan berbanding di Rio 2016.

Berdasarkan penilaiannya, Reezal Merican melihat prestasi semasa serta kesungguhan atlet dalam persiapan akhir menjelang Sukan Paralimpik Tokyo itu tampak meyakinkan seterusnya mampu membawa pulang lebih banyak pingat nanti.

“Terdapat petanda bahawa keputusan yang dicapai di Tokyo nanti mungkin lebih baik dari Rio namun apa yang penting aspek keselamatan haruslah dijaga sebaik mungkin bagi membolehkan mereka beraksi dan menyumbang pingat kepada negara. Insya-ALLAH, saya akan umumkan sasaran pingat dalam masa sehari dua lagi,” katanya dalam satu audio dikongsi kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan fasa akhir atlet para negara bagi temasya di Tokyo iaitu kem badminton, boccia dan ping pong di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Kontinjen paralimpik negara mencipta sejarah cemerlang apabila meraih tiga pingat emas dan satu gangsa di Rio 2016 menerusi acara olahraga, sekali gus menamatkan cabaran di kedudukan ke-36 dalam pungutan pingat keseluruhan.

Pingat emas pertama dimenangi atlet pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (celebral palsy), disusuli Muhammad Ziyad Zolkefli bagi acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly untuk acara lompat jauh T20 (kurang upaya intelektual) manakala gangsa diraih Siti Noor Radiah menerusi acara lompat jauh T20 (kurang upaya intelektual) wanita.

Sementara itu, Reezal Merican memaklumkan pemain perseorangan lelaki badminton para kebangsaan, Cheah Liek Hou antara prospek pingat negara bagi Sukan Paralimpik Tokyo nanti.

Artikel Berkaitan:

Beliau melontarkan keyakinan berkenaan selepas Liek Hou yang merupakan pemain nombor dua dunia muncul juara kategori SU5 (kecacatan bahagian atas tubuh badan) di Kejohanan Badminton Para Fazza-Dubai, di Emiriah Arab Bersatu (UAE) April lepas dengan menundukkan pemain Indonesia, Anrimusthi Dheva yang juga pemain nombor satu dunia 14-21, 22-20, 21-18 pada aksi final.

Selain Liek Hou, Reezal juga mengambil peluang melihat persiapan akhir Chew Wei Lun yang merupakan atlet dari sukan boccia yang kini berada di kedudukan ke-11 dunia dan atlet ke-19 terbaik dunia bagi sukan ping pong iaitu Chee Chao Ming.

Secara kesuluruhannya, beliau menyifatkan persiapan kem paralimpik setakat ini berada pada tahap yang baik dan mengikut jadual ditetapkan.

Sukan Paralimpik bakal berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September. - Bernama