Kerajaan tidak sorok, manipulasi angka kes Covid-19

Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan tidak pernah menyorok dan memanipulasi bilangan kes Covid-19, sebaliknya bersikap terbuka dalam mendedahkan jumlah jangkitan wabak itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini terbukti apabila semua statistik mengenai bilangan kes positif dikongsi pada setiap hari dengan pecahan kategori tertentu.

Jelasnya, perkongsian bilangan tersebut dibuat bagi membolehkan rakyat mengetahui situasi sebenar.

"Kita tidak simpan dan sorok. Kalau kita lihat semua mengenai kes Covid-19 didedahkan (dikongsikan) kepada umum. Kita yakin sistem kesihatan kita masih mampu menangani kes Covid-19 buat masa ini.

"Kalau kita lihat sudah banyak negeri dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), ini semua membuktikan kemampuan hospital di negeri-negeri berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program e-Tuisyen Indera Mahkota secara maya pada Sabtu.

Saifuddin berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan peningkatan bilangan kes positif berkenaan memandangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sedang giat dijalankan.

Jelasnya, program itu sebagai salah satu usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Proses pemberian vaksin berjalan lancar setakat ini dengan lebih 400,000 suntikan vaksin telah diberikan. Kita percaya sistem kesihatan mampu menangani kes Covid-19.

"Jika kita lihat laporan media luar negara juga ada menyebut, proses vaksinasi Malaysia adalah antara terpantas di dunia, kita berada sebaris dengan negara maju yang lain," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menularkan video atau gambar yang belum terbukti kesahihannya.

"Kalau hendak tular dengan menyebarkan kebaikan itu tidak menjadi masalah, tapi jika sebaliknya hentikan," katanya.