Jenazah pesakit Covid-19 tidak dituntut dikebumi di Seksyen 21 Shah Alam

Deretan van jenazah yang membawa enam daripada 12 jenazah pesakit Covid-19 dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dikebumikan ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama
Deretan van jenazah yang membawa enam daripada 12 jenazah pesakit Covid-19 dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dikebumikan ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jenazah pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang tidak dituntut merupakan antara yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dekat sini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, banyak jenazah yang belum dapat dikebumikan segera atas sebab tersebut dan hasil mesyuarat khas pada Khamis lalu memutuskan agar jenazah berkenaan disemadi di tanah perkuburan itu.

Katanya, HTAR menghadapi situasi itu kerana masih menunggu waris menuntut jenazah terutama waris yang berada di luar Selangor.

“Bila waris lambat (menuntut), jenazah jadi banyak dan kita buat keputusan untuk kuburkan di Seksyen 21 serta mengikut maklumat yang kita ada. Sekarang jenazah atau mayat sudah mula berkurang di hospital itu.

“Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 tempat yang sesuai kerana tanahnya mudah diurus berbanding di tempat lain seperti di Pelabuhan Klang yang tanahnya jenis tanah liat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandangan pilu di Tanah Perkuburan Seksyen 21

Selain itu katanya, bagi mempercepatkan urusan pengebumian, pihaknya akan menggunakan kenderaan lebih besar memuatkan sehingga enam jenazah bagi setiap satu perjalanan.

“Sebelum ini kita gunakan ambulans atau van, jadi kita akan gunakan kenderaan lebih besar yang mungkin boleh muat enam jenazah sekali jalan. Maka akan lebih pantas urusan pengebumian selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, HTAR menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan jabatan perubatan forensik hospital itu bersama Jabatan Agama Islam Selangor telah menguruskan pengebumian 12 jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.

Artikel Berkaitan:

Semalam Bernama melaporkan suasana luar biasa di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 berbanding hari biasa apabila deretan van jenazah dilihat keluar masuk ke kawasan tersebut bagi proses pengebumian dipercayai melibatkan jenazah pesakit Covid-19. - Bernama