MN Selangor minta rakyat segera daftar terima vaksin

MN meminta rakyat Selangor segera tampil mendaftar sebagai penerima vaksin bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang mencatatkan kes harian tertinggi di negeri ini. Gambar hiasan
MN meminta rakyat Selangor segera tampil mendaftar sebagai penerima vaksin bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang mencatatkan kes harian tertinggi di negeri ini. Gambar hiasan
A
A
A

TANJONG KARANG - Muafakat Nasional (MN) Selangor meminta rakyat negeri ini segera tampil mendaftar sebagai penerima vaksin bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang mencatatkan kes harian tertinggi di negeri ini.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu memaklumkan, usaha itu diharap dapat memastikan baki 1.3 juta rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan yang belum menerima vaksin akan menerima suntikan mereka sebagaimana disasarkan.

"Tidak ada ikhtiar terbaik di peringkat ini selain memastikan rakyat menerima vaksin untuk melindungi diri mereka dan keluarga serta masyarakat.

"MN Selangor turut menggesa kerajaan Selangor menyediakan prasarana dan memperbanyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memastikan tiada lagi vaksin yang tidak terguna akibat kekurangan PPV sebagaimana sebelum ini," kata kenyataan itu.

Justeru, tegas kenyataan itu, kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diharap dapat saling bantu-membantu serta bekerjasama dalam usaha ini dengan koordinasi yang lebih baik demi manfaat rakyat di negeri ini.

Kedua-dua pemimpin itu berkata, MN Selangor menyokong penuh inisiatif operasi lonjakan kapasiti dijalankan di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang diisytiharkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Jumaat.

Noh (kiri) menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada wakil penduduk kaum Cina di Tokong Pekan Tanjong Karang pada Sabtu.
Noh (kiri) menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada wakil penduduk kaum Cina di Tokong Pekan Tanjong Karang pada Sabtu.

"Diharapkan juga melalui langkah proaktif kerajaan Persekutuan ini, negeri Selangor akan mencapai imuniti kelompok pada waktu terdekat dan rakyat dapat kembali hidup seperti sediakala.

Artikel Berkaitan:

"Melalui program ini kerajaan Persekutuan akan memastikan setiap warga Selangor dan Wilayah Persekutuan yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos 2021," kata mereka.

Menurut kenyataan itu, program yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu langkah segera yang terbaik untuk melindungi nyawa rakyat dan diyakini dapat mengurangkan kes pandemik berikutan peningkatan drastik kes-kes baharu Covid 19 di Selangor hingga mencecah 5,512 kes pada Jumaat.

"Keputusan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam membenarkan warga emas yang belum memperoleh janji temu untuk menerima vaksin secara 'walk in' di mana-mana PPV di Selangor mulai Sabtu adalah sangat positif dan dialu-alukan," jelas kenyataan itu.

Noh turut meluangkan masa hadir bagi menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada kaum Cina di Tokong Pekan Tanjong Karang, di sini pada Sabtu.