'Tanya MITI kenapa buka kilang, jangan salahkan PBT'

Khamis lalu, Zuraida memaklumkan, PBT mempunyai kuasa menutup mana-mana kilang yang didapati gagal mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja.
Khamis lalu, Zuraida memaklumkan, PBT mempunyai kuasa menutup mana-mana kilang yang didapati gagal mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin perlu persoalkan tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membenarkan kilang beroperasi, sebelum menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dari aspek penguatkuasaan.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, MITI atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memberi kelulusan operasi ke atas kilang atau premis perniagaan yang pekerjanya telah 100 peratus divaksin.

"Peraturan ini perlu dikuat kuasa terlebih dahulu kemudian baharu PBT, polis atau mana-mana pihak berkuasa lain boleh ambil tindakan penguatkuasaan jika pengusaha tidak patuh prosedur operasi standard (SOP)," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Jumaat.

Rodziah berkata, menteri perlu mengeluarkan arahan yang jelas dan tidak bercanggah antara satu sama lain bagi mengelak berlakunya kekeliruan.

"Mereka perlu mencari penyelesaian masalah dan bukan menjadi sebahagian daripada masalah," katanya.

Pada masa sama beliau berkata, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga perlu memastikan bekalan vaksin diperolehi cepat bagi membolehkan semua dapat divaksin dan keutamaan perlu diberikan kepada sektor perkhidmatan penting.

ARTIKEL BERKAITAN: 'PBT ada kuasa tutup, kompaun kilang'

Pada Khamis lalu, Zuraida berkata, PBT mempunyai kuasa menutup mana-mana kilang yang didapati gagal mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

Artikel Berkaitan:

Zuraida dilaporkan berkata, kuasa itu selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang sedia ada.

Ahli Parlimen itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Selangor, Ng Sze Han bahawa PBT tidak mempunyai kuasa berkaitan kawalan jangkitan penyakit untuk menutup kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja dan tertakluk di bawah kerajaan Pusat.