Cuaca panas: Hati-hati kehadiran ular

Ular sawa bersaiz besar ditangkap APM Segamat.
A
A

SEGAMAT - Penduduk di daerah ini diminta agar lebih berwaspada dan peka dengan persekitaran terutama pada musim panas berikutan berisiko mengundang spesis ular.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, Kapten (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, ia berikutan terdapat aduan peningkatan spesis berbisa yang dilaporkan memasuki kediaman penduduk.

Katanya, sejak awal Januari, pihaknya menerima sekurang-kurangnya satu panggilan kecemasan dalam setiap hari berhubung pencerobohan ular.

“Sebanyak 60 spesis ekor pelbagai ular antaranya tedung selar, sawa batik, ular senduk termasuk katam tebu berjaya ditangkap sama ada di dalam dan luar kediaman penduduk.

“Kesemua haiwan berbisa ini dikesan berada dalam persekitaran penduduk iaitu sejak awal Januari sehingga 21 Februari,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kehadiran spesis berbahaya ini dilaporkan meningkat ekoran cuaca panas berpanjangan yang menyebabkan reptilia berkenaan mencari lokasi perlindungan baharu.

“Kebanyakan ular memilih kediaman penduduk kerana lebih dingin ekoran habitat semak-samun mereka terbakar akibat cuaca panas.

“Malah bahang terlampau juga menyebabkan lopak air dihuni sebelumnya kini kering kontang,” katanya.

Antara spesis ular berbisa yang berjaya ditangkap APM Segamat.
Antara spesis ular berbisa yang berjaya ditangkap APM Segamat.

Tambah Mohd Nazlan, apa sahaja peralatan di luar kediaman juga harus diperiksa terlebih dahulu.

"Kasut yang diletak di luar kediaman perlu dipastikan bebas dari spesis berbisa sebelum sarung. Bimbang selain anak ular, kala jengking juga selesa menghuni pada musim panas.

"Penemuan kulit ular di sekitar kediaman antara petanda kehadiran haiwan berbisa itu selain harus memastikan bunyi pelik yang ada kalanya bukan daripada ayam betina bertelur, tetapi bunyi tedung selar dalam semak berhampiran,” katanya.

Menurut beliau, selain bilik air, haiwan berbisa juga kerap memilih stor di mana merupakan habitat tikus yang menjadi punca makanan utama.

"Orang dinasihati agar tidak memandang rendah ukuran saiz kecil bentuk badan ular dengan beranggapan ia tidak merbahaya dan bertindak menangkap sendiri.

“Mereka disaran hubungi APM Segamat di talian ‪07-9321488‬ atau agensi lain yang terlatih bagi bantuan menangkap pelbagai haiwan berbisa,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia