'Jangan manipulasi isu pemulangan jaring gol futsal'

Ahmad Shukri tunjukkan laporan polis. Gambar kanan, isu yang tular di media sosial sejak semalam.
Ahmad Shukri tunjukkan laporan polis. Gambar kanan, isu yang tular di media sosial sejak semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Exco Belia dan Sukan, Mohamad Taufik Abd Ghani membuat laporan polis berkaitan isu pemulangan jaring gol futsal yang kini tular sejak semalam.

Menurut Adun Paroi itu, beliau telah diwakili Pembantu Khasnya, Ahmad Shukri Kamarudin, membuat laporan polis supaya perkara ini dapat disiasat seadilnya.

Kata Mohamad Taufik, jika benar ada pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan fitnah dan persepsi buruk masyarakat terhadap diri serta imejnya, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Saya berharap permainan politik adu domba dan fitnah ini dapat dihentikan. Kini masa untuk kita terus bekerja sehabis baik demi masa depan dan pembangunan Negeri Sembilan.

"Malaysia Baharu tidak ada nilainya jika sikap dan pemikiran kita semua masih di takuk yang lama,"katanya kepada Sinar Harian.

Menceritakan kisah yang berlaku, Mohamad Taufik menjelaskan pada 18 Februari semasa Majlis Jamuan Tahun Baharu Cina DUN Paroi lalu, beliau telah sumbangkan jaring gol futsal dan bola futsal kepada KRT Taman Marida.

Namun kemudiannya, beliau mengetahui bahawa KRT Taman Marida sudah ada jaring futsal yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Seremban dengan kerjasama pihak kontraktor gelanggang futsal di situ.

"Saya kemudiannya bertemu dengan Pengerusi KRT Taman Marida itu dalam satu program berlainan dan mencadangkan kepada pihak tersebut supaya jaring gol futsal yang diterima sebelum ini, diserahkan kepada pihak lain yang benar-benar memerlukan, tanpa paksaan, memandangkan mereka sudah ada keperluan itu.

Artikel Berkaitan:

"Hasil daripada perbincangan yang dilakukan, Pengerusi KRT Taman Marida kemudiannya bersetuju dengan cadangan saya tanpa paksaan dan beliau sendiri telah memulangkan semula jaring gol futsal itu ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paroi semalam.

"Namun isu telah dimanipulasi dengan niat cuba mencalarkan imej saya selaku ADUN Paroi merangkap Exco Kerajaan Negeri Sembilan,"katanya.

Tambahnya, perkara yang pada asalnya hanyalah isu kecil dan telah mendapat persetujuan bersama, tanpa sebarang unsur paksaan telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat yang tidak baik.

Kata Mohamad Taufik, beliau berharap perkara tersebut dapat dihentikan segera demi menjaga kepentingan kedua-dua pihak.