Tujuh beranak dalam kontena dapat perhatian MAINJ

Wakil MAINJ membaca doa semasa melawat dan memberi sumbangan Junaidah yang tinggal dalam kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama Tebrau, Johor Bahru, pada Jumaat.
Wakil MAINJ membaca doa semasa melawat dan memberi sumbangan Junaidah yang tinggal dalam kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama Tebrau, Johor Bahru, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Nasib tujuh beranak yang tular di media sosial kerana tinggal dalam sebuah kontena mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang menyampaikan bantuan pada Jumaat.

MAINJ dalam satu kenyataan dimuat naik menerusi Facebook rasmi mereka memaklumkan, pasangan suami isteri, Azrul Maskat, 36, isteri, Junaidah Abd Samad, 36, bersama lima anak tinggal berhimpit dalam kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama Tebrau di sini.

"Allahu Akbar, sayu sangat, rasa hendak mengalir air mata, tular semalam kakak Junaidah bersama keluarga jadikan kontena sebagai tempat berteduh.

"Kakak mempunyai lima anak berusia lima hingga 13 tahun. Alhamdulillah semua bersekolah, baik-baik semua, khusyuk sangat semua aminkan doa bila kami baca. Masa sampai, suami kakak tiada di rumah, bekerja, suami kakak buat kerja-kerja kampung dengan upah harian yang tidak menentu.

"Selain daripada itu suami kakak juga baiki motosikal, syukur rajin sangat suami kakak kerja untuk tampung keperluan keluarga," tulis pentadbir media sosial itu pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat menyiarkan kisah kehidupan tujuh beranak selepas mereka terpaksa tinggal dalam kontena tersebut sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu kerana diusir dari rumah sewa yang tertunggak selama tiga bulan.

Menurut kenyataan itu lagi, kontena di atas tanah milik persendirian tidak dikenakan sebarang bayaran.

"Tanah yang kakak duduk adalah tanah persendirian, tuan tanah tidak minta bayaran, cuma kakak dan suami bantu jaga kawasan tersebut, kawasan sekeliling ditutup dengan zink, Alhamdulillah utiliti asas air dan elektrik semua ada.

Artikel Berkaitan:

"Menurut kenyataan akhbar, keluarga kakak akan dibantu untuk mendapatkan kediaman yang lebih sempurna. Sebelum balik kami berdoa, kami beri juga sumbangan duit tunai dan barangan asas pada kakak," katanya.

MAINJ merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan setempat, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jabatan Kebajikan Masyarakat, penghulu, ketua kampung dan semua pihak yang membantu.