Cuaca panas punca feri terbakar?

Mohammad Hamdan (tengah) pada sidang media di sini.
Mohammad Hamdan (tengah) pada sidang media di sini.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) masih melakukan siasatan berhubung punca kejadian feri penumpang yang terbakar selepas 10 minit bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi petang semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada berlaku tumpahan minyak susulan api cepat marak.

"Bagaimanapun, keadaan angin laut juga cuaca panas ketika itu turut memainkan peranan dalam menyebabkan api marak.

"Kejadian berlaku dalam lima kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat terdekat sekaligus membolehkan bantuan segera sampai selain tindakan awal penumpang keluar ke kawasan selamat dengan memakai jaket keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan kejadian kebakaran feri penumpang di Langkawi.

Mohammad berkata, lokasi kejadian yang tidak jauh dari darat membolehkan kesemua mangsa dapat diselamatkan dengan pantas oleh pasukan keselamatan bersama 101 anggota yang turut dibantu polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Semalam, seramai 52 penumpang dan tujuh kru berdepan detik mencemaskan apabila feri dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba selepas 10 minit bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, feri penumpang terbabit dalam perjalanan dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Perlis.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohammad hadir pada Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis.