175 kanak-kanak terima bakul makanan

Mohd Asri Redha (tiga dari kanan) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang waris kanak-kanak yang dipilih untuk menerima bantuan di Simpang Empat di sini pada Sabtu.
Mohd Asri Redha (tiga dari kanan) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang waris kanak-kanak yang dipilih untuk menerima bantuan di Simpang Empat di sini pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 175 kanak-kanak dari pelbagai kaum di kawasan Simpang Empat di sini dipilih untuk menerima bakul makanan yang disumbangkan hasil kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, setiap bakul makanan terbabit bernilai RM120 yang mengandungi barang keperluan dan juga barangan basah seperti sayur-sayuran serta ayam.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik usaha NGO yang aktif menjalankan aktiviti sumbangan untuk membantu golongan memerlukan di daerah berkenaan.

"Kita melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah juga telah mengagihkan hampir 10,000 bakul makanan kepada mereka yang terjejas setakat ini.

"Ditambah pula dengan adanya bantuan daripada NGO seperti ini kita harap tidak ada lagi ahli masyarakat dalam daerah ini yang ketinggalan dalan mendapatkan bantuan bakul makanan," katanya ketika ditemui di Program Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan kepada Kanak-kanak di Simpang Empat pada Sabtu.

Menurutnya, selain itu orang ramai juga masih lagi berpeluang mengubungi talian bantuan PKOB untuk mendapatkan bantuan makanan.

"Buat masa ini kita masih lagi mempunyai baki bakul makanan yang belum diedarkan. Tetapi jika bekalan kita sudah habis, mereka boleh mendapatkan bantuan melalui peruntukan Ahli Parlimen yang telah diluluskan baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, pengarah program merangkap Setiausaha Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak Daerah Kota Setar, Mohd Shukor Saleh berkata, pemilihan penerima dibuat berdasarkan latar belakang keluarga kanak-kanak yang terdiri daripada golongan B40 dengan bantuan jawatankuasa komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi peruntukan pula kita menerima sumbangan daripada beberapa NGO dengan sumbangan terbesar daripada Lions Club Of Alor Setar Central dan Fungates Superflow Foundation.

"Insya-ALLAH kita akan cuba perluaskan program ini ke kawasan lain dalam daerah Kota Setar yang mempunyai ramai golongan B40 yang terjejas seperti di Kuala Kedah dan lain- lain lagi," katanya.