Kempen #TakNakScam tingkat kesedaran penipuan jenayah siber

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kempen #TakNakScam yang dilancarkan pada Sabtu bagi mendidik rakyat Malaysia daripada terjebak dengan jenayah siber yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, sektor awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu bekerjasama memerangi sebarang bentuk jenayah penipuan.

Beliau berkata, antara kerjasama itu adalah dengan meningkatkan kesedaran, mendorong pemikiran kritikal dan mendaya-upaya orang ramai untuk bertindak cepat dan mengambil tindakan melalui pemesejan, advokasi dan maklumat yang mudah difahami, panduan dan sistem sokongan yang padu.

"Kami menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil langkah yang sepatutnya dan menyertai kami dalam memerangi jenayah siber serta memastikan platform-platform digital kita sentiasa selamat.

"Jika semua orang berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara ini berleluasa, scammer akan terus mengeksploitasi komuniti kita," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, orang ramai harus tahu bagaimana dan di mana untuk melaporkan pelbagai penipuan kewangan.

Menurutnya, di Malaysia, jenis-jenis penipuan kewangan yang paling lazim termasuk penyamaran bank /pihak berkuasa, pinjaman tidak wujud, pelaburan haram, scam e-dagang serta akaun keldai/sewa akaun bank dan kad ATM yang merupakan fokus utama kempen ini.

"Kempen #TakNakScam menyeru orang ramai untuk mengingati tiga langkah mudah iaitu 'Kenal pasti, Semak, Lapor' agar kekal waspada dalam mengenal pasti, mengesahkan dan melaporkan penipu kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Juga pastikan untuk melapor sebarang aktiviti, individu atau akaun yang mencurigakan kepada pihak Facebook, Instagram dan WhatsApp," jelasnya.

Pengarah Interim Negara Facebook Malaysia, Justin Murugaya berkata, pihaknya berharap kempen itu dapat membantu dan menyokong pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang serta agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan pengguna dan industri, dan sektor perkhidmatan kewangan dalam membina dan memastikan ekosistem dalam talian yang lebih selamat di Malaysia.

Beliau berkata, jumlah pengguna dalam talian dan media sosial semakin bertambah, masing-masing menggunakannya bagi membantu mereka untuk kekal berhubung dengan komuniti, keluarga, dan rakan-rakan di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, katanya, pengguna perlu berhati-hati kerana bukan orang baik sahaja berada dalam talian.

"Ramai rakyat negara ini menjadi mangsa perdayaan dan penipuan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan penipuan kewangan merupakan antara kes yang paling banyak berlaku, memandangkan scammer mengambil kesempatan terhadap kebergantungan kepada teknologi yang semakin meningkat.

"Berdasarkan rekod PDRM, jenayah siber di Malaysia meningkat pada tahap yang membimbangkan.

"Sejak lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 67,552 kes penipuan siber telah dilaporkan antara tahun 2017 dan 20 Jun 2021 yang mencatat kerugian keseluruhan berjumlah RM2.23 bilion," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Daripada jumlah tersebut, ujarnya kes penipuan pembelian atas talian atau e-dagang merekodkan kes tertinggi sebanyak 23,011 kes, diikuti pinjaman tidak wujud sebanyak 21,008 kes dan penipuan pelaburan sebanyak 6,273 kes.

Kempen #TakNakScam dijalankan secara berterusan dengan usaha sama Jabatan CCID Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDNHEP, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM), CyberSecurity Malaysia (CSM), Fomca dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia).

Sekiranya orang awam mengesan sebarang bentuk penipuan kewangan, mereka disarankan supaya membuat laporan kepada CCID. Pusat Tindakan Penipuan CCID atau CCID Scam Response Centre telah beroperasi sejak 15 Februari 2021 antara jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari di talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599.

Maklumat lanjut mengenai kempen #TakNakScam, sila layari https://wethinkdigital.fb.com/my/en-my/taknakscam/