Anak buaya akhirnya masuk perangkap

Anak buaya ditemui di Tasik Shah Alam. -Foto Perhilitan, MBSA
Anak buaya ditemui di Tasik Shah Alam. -Foto Perhilitan, MBSA
A
A
A

SHAH ALAM - Anak buaya tembaga bersaiz satu meter yang ditemui di bahagian barat Tasik Shah Alam di sini minggu lalu, berjaya ditangkap kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Abd Rahim Othman memberitahu anak buaya itu ditemui berada dalam salah satu daripada tiga perangkap yang dipasang pihaknya sejak minggu lalu.

Abd Rahim bersama anggotanya serta pihak MBSA yang turut membantu usaha menangkap reptilia berkenaan. -Foto Perhilitan, MBSA
Abd Rahim bersama anggotanya serta pihak MBSA yang turut membantu usaha menangkap reptilia berkenaan. -Foto Perhilitan, MBSA



ARTIKEL BERKAITAN: Anak buaya muncul di Tasik Shah Alam

Menurutnya, pihaknya bersama unit buaya Pusat Perlindungan Hidupan Liar (NWRC) membuat pemantauan berterusan dan memasang tiga perangkap sederhana, dua unit jala serta satu pukat bagi menangkap reptilia itu.

"Dalam tempoh lima hari ini, kita akhirnya dapat menangkap anak buaya itu yang masih belum dikenal pasti jantinanya.

"Reptilia itu akan dihantar ke 'rescue centre' di Paya Indah Wetland, Sepang dan ditempatkan di sana buat sementara waktu," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, haiwan itu akan dirawat dan disimpan di sana sebelum dilepaskan ke habitat liar yang bersesuaian.

Mengulas sama ada terdapat kemungkinan masih ada buaya lain dalam Tasik Shah Alam, Abd Rahim berkata, pihaknya belum dapat memastikan perkara tersebut buat masa ini.

Artikel Berkaitan:

"Tapi kita masih tinggalkan perangkap, jala serta pukat di sana sebagai persediaan kalau ada lagi haiwan itu," katanya yang turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi melancarkan operasi menangkap anak buaya itu.

Sementara itu, MBSA dalam satu kenyataan media turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya Perhilitan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta renjer taman MBSA yang bekerjasama dalam memastikan anak buaya itu dapat ditangkap.