Lebih 80 NGO kemuka sembilan rayuan kepada Agong

Sidang akhbar secara maya oleh wakil NGO di bawah Jawatankuasa Kebangsaan Pemantauan Pemulihan Ekonomi Covid-19 pada Sabtu.
Sidang akhbar secara maya oleh wakil NGO di bawah Jawatankuasa Kebangsaan Pemantauan Pemulihan Ekonomi Covid-19 pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jawatankuasa Kebangsaan Pemantauan Pemulihan Ekonomi Covid-19 bersetuju menghantar memorandum sembilan rayuan kecemasan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Gabungan Persatuan Industri Fondri dan Kejuruteraan Malaysia, Persatuan Industri-Industri Fondri dan Kejuruteraan Melaka, Dewan Perdagangan Malaysia-China Cawangan Melaka dan Persatuan Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia.

Jawatankuasa berkenaan melalui kenyataan bersama pada Sabtu memaklumkan sembilan rayuan itu termasuk kerajaan perlu menghormati pandangan, nasihat dan strategi yang dikemukakan pihak profesional bagi menangani pandemik Covid-19.

Kenyataan berkenaan turut memberitahu, memorandum itu juga mahu kerajaan menyediakan prosedur ringkas dan menyelaraskannya dengan klinik swasta bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negara selain keutamaan kepada golongan industri dan komersial bagi memulihkan ekonomi negara.

“Kerajaan juga tidak seharusnya menghalang rawatan tradisi masyarakat Cina yang dikatakan boleh mencapai tahap keberkesanan dalam rawatan Covid-19 di peringkat antarabangsa.

"Kerajaan juga perlu mengarahkan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan moratorium secara automatik tanpa syarat kepada individu dan peniaga khususnya pembayaran balik pinjaman," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan mereka turut menuntut sebarang caj ke atas bil air dan elektrik juga perlu dihentikan sementara.

“Selain menubuhkan pusat pengagihan makanan ke seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, kerajaan juga perlu memastikan sistem kesihatan stabil.

Artikel Berkaitan:

“Bantuan dari segi kewangan juga haruslah diberikan secukupnya terutama mereka yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan,” kata mereka.

Sehubungan itu, NGO terbabit berharap Yang di-Pertuan Agong dapat membantu mengembalikan kegemilangan dan kesejahteraan rakyat seperti biasa.

Kumpulan berkenaan juga akan menghantar memorandum itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa kementerian lain yang terlibat dalam sektor ekonomi.