23 peratus orang asli Negeri Sembilan sudah divaksin

Nicole (kiri) semasa meninjau vaksinasi orang asli di PPV Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada Sabtu.
Nicole (kiri) semasa meninjau vaksinasi orang asli di PPV Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Lebih 2,000 dengan anggaran 23 peratus masyarakat orang asli di Negeri Sembilan telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, daripada 8,470 masyarakat orang asli seluruh Negeri Sembilan, 6,470 orang masih belum menerima suntikan.

"Di daerah Seremban kita mempunyai 1,835 orang asli yang layak untuk terima vaksin, tetapi yang bersetuju untuk divaksin setakat ini hanya 660 orang , dan masih berbaki 839 orang asli lagi yang belum bersetuju, tidak termasuk mereka yang telah berpindah.

"Kita masih lagi menjalankan proses pemujukan, kebanyakan orang asli di sini mengambil pendekatan tunggu dan lihat, mereka suka menunggu dan melihat rakan-rakannya yang sudah divaksin terlebih dahulu, kemudian baru membuat keputusan, jadi proses itu mengambil masa yang lama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan vaksinasi masyarakat orang asli di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada Sabtu.

Turut serta Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis.

Dalam pada itu, Nicole memberitahu, minggu lalu pihaknya berjaya memujuk beberapa orang asli termasuk Tok Batin di Perkampungan Orang Asli Bukit Kristal untuk menerima vaksin.

Hasil pujukan tersebut, ramai orang asli di situ mula bersetuju dan hadir ke PPV yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut Shahrani pihaknya menyasarkan sebanyak 80 peratus orang asli telah divaksin bagi membolehkan imunisasi berkelompok dicapai menjelang September.

"Pada bulan ini kita akan pastikan semua orang asli hadir ke PPV untuk menerima vaksin.

"jika tidak berjaya, kita akan melakukan secara bergerak pula bagi melakukan pemutihan di semua kawasan perkampungan orang asli terutama mereka yang tinggal di Seremban pada bulan Ogos," katanya.