X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

JKM teliti garis panduan ketatkan permohonan rumah jagaan

Rina
A
A

REMBAU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang meneliti beberapa garis panduan bagi memperketatkan kelulusan permohonan pengoperasian sesebuah pusat jagaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, perkara itu akan dibentangkan kepada beliau dalam tempoh terdekat sekali gus membolehkan penambahbaikan dilakukan terhadap garis panduan sedia ada bagi mengelakkan kes pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak tidak lagi berlaku.

“Beberapa garis panduan itu termasuk untuk perketatkan kriteria Orang Yang Layak dan Sesuai (menjaga kanak-kanak) dan beberapa perkara lain.

“Sudah pasti bila kami nak menambah baik garis panduan, kami mengambil kira bukan sahaja (pembabitan) JKM tetapi keadaan semasa dan daripada kementerian lain selain agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Rumah Kanak-Kanak Rembau di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 1,828 pusat jagaan di seluruh negara berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) setakat Mei lepas termasuk membabitkan rumah jagaan kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya.

Sementara itu, Rina menasihati orang ramai untuk tidak lagi menularkan gambar atau apa-apa sahaja rakaman kes penderaan melibatkan kanak-kanak kerana ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001.

“Pada masa sama, sekiranya ada kes mencurigakan di sekeliling kita atau mengetahui kes berkaitan penderaan atau ekploitasi terhadap kanak-kanak, orang ramai perlu bertindak dan memaklumkan kepada Talian Kasih atau pihak berkuasa dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata untuk rekod, seramai 2,461 kanak-kanak di seluruh negara diselamatkan JKM termasuk daripada penderaan fizikal, seksual dan pengabaian dari Januari tahun ini hingga Mei lepas.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata keputusan membenarkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas boleh jumpa terus (walk-in) di mana-mana pusat pemberian vaksin di Lembah Klang bagi menerima suntikan Covid-19 merupakan langkah terbaik untuk memastikan imuniti kelompok dicapai di kawasan itu.

Bagaimanapun beliau berharap golongan rentan lain terutama orang kurang upaya juga turut diberi kebenaran untuk mendapatkan suntikan vaksin secara walk-in.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin memaklumkan golongan warga emas yang sehingga kini masih belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19 boleh mendapatkannya secara walk-in mulai hari ini (Sabtu). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera remaja OKU: Pasukan khas perlu diwujudkan

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Anak istimewa disyaki didera di rumah kebajikan


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!