Banyak kilang dibenar operasi gagal patuh SOP: Ismail Sabri

Ismail Sabri (kiri) bersama Hamzah (dua dari kanan) dan Acryl Sani (kanan) turun padang bagi meninjau salah sebuah kilang menerusi Op Patuh di sekitar Klang, Selangor pada Sabtu.
Ismail Sabri (kiri) bersama Hamzah (dua dari kanan) dan Acryl Sani (kanan) turun padang bagi meninjau salah sebuah kilang menerusi Op Patuh di sekitar Klang, Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Terdapat banyak kilang yang diberi kebenaran oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi dikesan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi penguatkuasaan Op Patuh di seluruh negara, pihak berkuasa mendapati kilang-kilang terlibat melakukan pelanggaran SOP dan turut dikenakan tindakan kompaun.

Beliau berkata, antara pelanggaran SOP yang kerap dilakukan melibatkan kegagalan pekerja kilang melakukan imbasan menerusi aplikasi MySejahtera.

"Walaupun kilang-kilang ini dibenar beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu, namun ini tidak bermakna mereka tidak melakukan kesalahan.

"Kilang-kilang ini masih perlu patuh kepada SOP walaupun dibenarkan beroperasi," katanya selepas melakukan turun padang bagi mengikuti Op Patuh di dua buah kilang, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kilang-kilang yang berdegil dan masih beroperasi walaupun tidak mendapat kebenaran akan turut dikenakan tindakan tegas menerusi Op Patuh itu.

"Seperti saya tegaskan, kita tidak akan kompromi dengan mana-mana kilang atau premis perniagaan yang melanggar arahan kerajaan dan SOP ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, sebanyak 17,876 pemeriksaan dilakukan oleh Jawatankuasa Pematuhan SOP pada Jumaat diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan kilang, asrama penempatan pekerja, tapak pembinaan dan premis-premis perniagaan di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 90 kompaun telah dikeluarkan dan 64 premis turut diarah tutup oleh pihak berkuasa.

"Operasi ini akan dilakukan setiap hari kerana kita tahu ada pihak yang masih berdegil dan tidak mematuhi arahan ditetapkan.

"Sebab itu penting tindakan menerusi snap check dan serbuan sebegini untuk memastikan semua pihak mematuhi arahan ditetapkan," katanya.