MH17: Malaysia mahu semua bukti

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia tetap teguh dalam kedudukannya untuk melihat semua bukti berkaitan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine didedahkan kepada awam dan proses kehakiman dijalankan secara adil dan tidak terjejas oleh sebarang tekanan politik demi menegakkan keadilan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada Sabtu sempena memperingati ulang tahun ketujuh tragedi MH17, ia berkata Malaysia sentiasa komited memberi sokongan penuh untuk membawa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 ke muka pengadilan.

“Malaysia mengulangi komitmennya untuk membawa pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan ini ke muka pengadilan, bukan hanya kerana semua orang yang terlibat berhak melihat keadilan, tetapi ia juga akan memberi kelegaan dan ketenangan fikiran kepada waris mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut,” menurut kenyataan itu.

Pesawat Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 apabila ia ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine. Mengorbankan 298 penumpang termasuk kru pesawat itu.

Menurut kenyataan itu, Malaysia percaya dan berharap pandemik Covid-19 tidak menjadi penghalang dalam usaha menegakkan keadilan bagi mangsa tragedi MH17.

“Ingatan dan doa kami sentiasa bersama mangsa dan orang tersayang. Kami berharap keluarga dan rakan-rakan mangsa mempunyai kekuatan dan ketahanan, sementara kami kekal komited dalam usaha menegakkan keadilan,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: