99 peratus kes positif KL, Putrajaya libatkan kategori 1, 2

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 99 peratus daripada 1,604 kes harian positif Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Jumaat membabitkan kategori satu dan dua tetapi tiada kes melibatkan kategori lima.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, 625 kes atau 39 peratus bagi kategori satu, 956 kes atau 60 peratus membabitkan kategori dua, kategori tiga dengan 20 kes (1 peratus) dan kategori empat membabitkan tiga kes (kurang 1 peratus).

Menurutnya, sebanyak 46.5 peratus kes merupakan saringan kontak rapat manakala 31.5 peratus lagi kes sporadik.

"Bagi kes saringan yang di kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) bersasar pula menunjukkan penurunan kepada 126 kes berbanding bilangan kes yang direkodkan 14 Julai iaitu sebanyak 294 kes.

"Kategori kes import merupakan penyumbang paling rendah daripada keseluruhan kes yang direkodkan iaitu sebanyak 1 peratus," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Annuar, sebanyak 80 kes positif dalam kalangan warganegara manakala 20 peratus bukan warganegara.

Katanya lagi, 149 kes melibatkan dua kluster tapak bina, 126 kes dengan 12 kluster lokaliti PKPD dan lain-lain kluster menyumbang sebanyak 62 kes.

Beliau turut memberitahu, program imunisasi Covid-19 di Wilayah Persekutuan pada pada masa ini ialah 30 kali ganda lebih tinggi daripada kes positif harian yang direkodkan.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah vaksinasi harian dipertingkatkan lagi bagi membolehkan Wilayah Persekutuan mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

"Langkah itu dapat melindungi warga Wilayah Persekutuan daripada simptom jangkitan yang teruk," katanya.