Sidang DUN Kedah pada September depan

Muhammad Sanusi pada sidang media selepas lawatan kerja di PPV Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini pada Sabtu. Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Muhammad Sanusi pada sidang media selepas lawatan kerja di PPV Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini pada Sabtu. Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
A
A
A

LANGKAWI - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah secara bersemuka dijadualkan akan diadakan pada minggu kedua September depan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tarikh pembukaan sidang DUN akan dimaklumkan selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya menerima taklimat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri pada Rabu lepas dan notis sidang DUN hanya boleh dikeluarkan selepas proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos.

"Sidang DUN Kedah boleh dilaksanakan paling awal pada minggu pertama September, bagaimanapun kerajaan negeri lebih selesa pembukaan persidangan DUN diadakan pada minggu kedua.

"Tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu diperlukan bagi menyediakan jawapan bagi soalan lisan atau bertulis dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran bagi menetapkan tarikh paling cepat.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau perlu sembah maklum terhadap apapun keputusan berkaitan perkara terbabit serta mendapat perkenan Sultan Kedah sebelum memaklumkannya.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir persidangan DUN Kedah diadakan adalah pada 15 hingga 19 November 2020 ketika Muhammad Sanusi membentangkan Belanjawan Kedah 2021 mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada Jun lepas, Pakatan Harapan (PH) Kedah dilaporkan menggesa Muhammad Sanusi menghadap Sultan Kedah pada kadar segera bagi memohon perkenan pembukaan semula persidangan DUN.

Dalam kenyataan bersama oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew, perkara tersebut selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja Melayu bahawa persidangan Parlimen dan DUN perlu diadakan secepat mungkin, selain menamatkan darurat serta menyegerakan vaksinisasi kepada rakyat.