PPN fasa 2: Solat sunat Aidiladha, ibadah korban dibenarkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Takbir Hari Raya Aidiladha di semua masjid dan surau di kawasan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah dibenarkan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan pada Sabtu menyatakan bahawa solat sunat Aidiladha dan khutbah hari raya serta ibadah korban bagi tahun ini turut dibenarkan dengan mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dan kebenaran pihak berkuasa agama negeri.

Bagaimanapun takbir dari rumah ke rumah, jamuan selepas solat sunat Aidiladha, program ziarah, ziarah tanah perkuburan dan rumah terbuka atau majlis jamuan hari raya adalah tidak dibenarkan.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Selasa depan (20 Julai) dan lapan negeri yang telah beralih ke Fasa 2 PPN setakat ini iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Menurut Jakim, bagi kawalan penularan dan jangkitan, masjid atau surau perlu mengadakan kaunter di pintu masuk dengan jumlah yang hadir perlu dihadkan bilangannya, suhu badan diperiksa, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah diambil; dan ruang solat serta kawasan sekitarnya, termasuk tandas dan ruang wuduk perlu kerap disanitasi.

Jakim berkata, pintu masjid hanya dibuka satu jam sebelum solat dan ditutup sejurus selepas selesai aktiviti solat berjemaah manakala jemaah yang sihat dan tidak bergejala sahaja dibenarkan hadir dengan mengikut SOP. - Bernama

Artikel Berkaitan: