Aidiladha: Aliran trafik LPT dijangka turun

Keadaan lalu lintas dari udara di Plaza Tol Gombak. Foto Ihsan ANIH Berhad
Keadaan lalu lintas dari udara di Plaza Tol Gombak. Foto Ihsan ANIH Berhad
A
A
A

KUANTAN - Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik mengalami penurunan berbanding jumlah purata harian untuk tempoh musim perayaan Aidiladha bermula 16 Julai hingga 25 Julai depan.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, jumlah tersebut membabitkan sebanyak 81.3 peratus bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan 72.5 peratus bagi LPT 1.

“Syarikat mengambil maklum dan menghormati keputusan kerajaan mengenai larangan rentas negeri ketika ini.

"Bagaimanapun kami akan terus memastikan semua kemudahan lebuh raya termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah dan perkhidmatan tol serta trafik berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, bagi mengekang penularan Covid-19, semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT 1 turut mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ia termasuk proses sanitasi berkala, penyediaan cecair pembasmi kuman, peralatan merekod butiran diri dan alat pengimbas suhu badan.

"Oleh itu, pengguna disarankan untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan fasiliti lebuh raya," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati pengguna untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya bagi memastikan kelancaran perjalanan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi urusan tambah nilai, pengguna boleh ke kiosk layan diri (SSK) yang disediakan di R&R Genting Sempah dan Hentian Sebelah Gombak bagi KLK, R&R Temerloh Timur, R&R Temerloh Barat serta Plaza Tol Gambang bagi LPT1," jelasnya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini di laman web ANIH Berhad atau menerusi Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur.

Bagi bantuan kecemasan, pengguna disarankan untuk menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 atau 09-5479 111.