Sasar warga emas di Lembah Klang selesai vaksin tempoh terdekat: PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas sesi lawatan di Pharmaniaga LifeScience, Taman Perindustrian Puchong Utama hari ini.
 - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas sesi lawatan di Pharmaniaga LifeScience, Taman Perindustrian Puchong Utama hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

PUCHONG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menjangkakan semua warga emas di Lembah Klang akan disuntik sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dalam masa beberapa minggu lagi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia selaras keputusan golongan itu dibenarkan datang mendapatkan dos vaksin secara 'walk-in' atau jumpa terus di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan fasiliti kesihatan kerajaan di Lembah Klang mulai Sabtu.

"Semua PPV dan klinik serta fasiliti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia menerima warga emas ini sama ada mereka berdaftar ataupun tidak berdaftar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke syarikat farmasutikal Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di sini pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, sehingga 15 Julai, terdapat 3,025,275 warga emas telah berdaftar untuk mendapatkan vaksin dan seramai 2, 680,880 atau 88.61 peratus telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, warga emas yang belum mendapat janji temu boleh hadir secara terus atau 'walk in' di mana-mana PPV di Kuala Lumpur dan Selangor bagi mendapatkan vaksin mulai Sabtu.

Menyentuh mengenai bekalan vaksin, Muhyiddin berkata, syarikat Pharmaniaga yang mengeluarkan vaksin Sinovac hampir melengkapkan sebanyak 12.4 juta dos vaksin yang dipesan kerajaan dalam masa terdekat.

Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan syarikat itu menyiapkan tempahan vaksin yang dipesan dengan lebih awal dan menurutnya, bekalan itu akan membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi.

"Ini keputusan yang saya buat awal tahun iaitu Pharmaniaga akan bantu kerajaan dalam melaksanakan proses vaksinasi Covid-19 negara dan ternyata ia berjaya dengan disokong oleh vaksin-vaksin keluaran lain," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: