'Catch You' tangani isu pembuangan sisa pepejal

Rozali (tengah) menunjukkan sampah yang dibuang di luar tong sampah.
Rozali (tengah) menunjukkan sampah yang dibuang di luar tong sampah.
A
A
A

SEBERANG JAYA- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih di empat lokasi di kawasan seberang bagi menangani isu pembuangan sisa pepejal di luar tong sampah.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pemasangan CCTV yang dinamakan 'Catch You' itu juga bertujuan untuk menangani pembuangan sisa pepejal industri dan perdagangan di tong-tong komunal MBSP.

Menurutnya, empat lokasi yang dipilih MBSP sebagai perintis dan percubaan bagi membuktikan keberkesanan Catch You itu adalah Jalan Bagan Belat di Teluk Air Tawar; Jalan Paya Keladi di Kepala Batas, Kuala Bekah di Penaga dan Jalan Permatang Nibong.

"Semua tempat ini adalah lokasi tapak tong komunal MBSP yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan pembuangan sisa pepejal di luar tong dan pembuangan sisa pepejal industri dan perdagangan.

"Hampir 18 peratus daripada 1,039 lokasi tong komunal MBSP iaitu 182 lokasi dikesan berlakunya limpahan sampah. Pecahan 182 lokasi tersebut adalah 99 di Seberang Perai Utara, 72 di Seberang Perai Tengah dan 11 di Seberang Perai Selatan," katanya pada sidang akhbar di Jalan Bagan Belat, Teluk Air Tawar pada Sabtu.

Katanya, sejak kebelakangan ini, MBSP mendapati isu kebersihan di tapak tong komunal berada di tahap kurang memuaskan.

"Kita mendapati, sampah dibuang di luar tong walaupun tong masih belum penuh. Di samping itu, kita juga mendapati pembuangan sisa pepejal industri telah dilupuskan di tong komunal MBSP sedangkan sisa pepejal industri perlu dilupuskan sendiri oleh pihak industri di Tapak Pelupusan Pulau Burung (TPPB).

"Tujuan asal tong komunal MBSP disediakan adalah untuk kegunaan penduduk kampung melupuskan sisa pepejal domestik. Bagaimanapun, kita mendapati ada segelintir pihak industri dan perdagangan yang melupuskan sisa pepejal industri di tong komunal MBSP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rozali (dua dari kiri) memantau CCTV 'Catch You' yang dipasang untuk menangani isu pembuangan sisa pepejal di luar tong sampah pada Sabtu.
Rozali (dua dari kiri) memantau CCTV 'Catch You' yang dipasang untuk menangani isu pembuangan sisa pepejal di luar tong sampah pada Sabtu.

Rozali berkata, sisa pepejal yang dilupuskan di TPPB pada tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Peningkatan itu menyebabkan kos pelupusan sisa pepejal yang ditanggung MBSP juga meningkat. Sisa dari industri juga meningkat 20 peratus namun sisa domestik mencatatkan penurunan sebanyak tujuh peratus.

"Saya meminta semua penduduk Seberang Perai supaya jaga kebersihan awam. Tindakan membuang sampah merata-rata, membuang sampah di lokasi tidak sepatutnya, melupuskan sisa pepejal industri dan perdagangan di tong komunal MBSP adalah menjadi satu kesalahan. Tindakan itu boleh dikompaun sehingga RM1,000," katanya.

Dalam pada itu, Rozali berkata, pihaknya juga melancarkan 'Awareness Banner' dalam usaha memupuk kesedaran dan memberi pendidikan kepada penduduk Seberang Perai supaya menjaga kebersihan awam.

Katanya, 'Awareness Banner' itu merangkumi beberapa variasi seperti antaranya kebersihan di kawasan perumahan dan kejiranan; kebersihan di tapak tong komunal; kebersihan di kawasan pantai, kebersihan di kawasan perindustrian, pembuangan sampah secara haram selain memupuk amalan kitar semula.

"MBSP mengambil langkah menggunakan 'Awareness Banner' yang akan diletakkan di beberapa kawasan tumpuan di Seberang Perai kerana lebih sesuai untuk semua lapisan masyarakat tidak kira umur, bangsa dan agama.

"Walaupun masyarakat kini lebih tertumpu kepada media sosial dan teknologi di hujung jari, usaha ini tetap dilaksanakan," katanya.