Kerajaan bantu ekonomi gerakan koperasi

Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Gambar kecil: Mas Ermieyati
Suruhanjaya Koperasi Malaysia Gambar kecil: Mas Ermieyati
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi menunjukkan tindak balas responsif dalam menjamin kelangsungan ekonomi sektor koperasi khasnya dan negara amnya.

Menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi tujuan mengelakkan lebih banyak koperasi tidak aktif, kehilangan pekerjaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat selain memastikan mereka terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, antara inisiatif itu adalah Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi yang diperkenalkan untuk meningkat dan menggerakkan kembali sektor ekonomi koperasi

Beliau berkata, inisiatif ini merangkumi pelbagai aspek seperti peluang meningkatkan pendapatan melalui koperasi, menceburi perniagaan baharu yang lebih dinamik, penjualan barang keperluan asas dengan harga patut serta penggunaan aplikasi pemasaran terkini dalam usaha meningkatkan hasil jualan

“Koperasi sebagai sebuah entiti perniagaan dan pertubuhan sosial juga turut terkesan buktinya, perolehan perniagaan koperasi menurun sebanyak RM4.34 bilion daripada RM45.79 bilion pada tahun 2019 kepada RM41.45 bilion pada 2020.

“Penutupan pintu sempadan negara dan sekatan rentas daerah atau negeri pula menjejaskan pendapatan koperasi-koperasi yang menjalankan aktiviti perkhidmatan termasuk pelancongan, hotel, rumah inap, perkhidmatan bas dan teksi,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, sehubungan itu melalui SKM, pelbagai usaha dan inisiatif telah diambil bagi memulih dan mengukuhkan semula aktiviti ekonomi koperasi yang terjejas.

Antaranya, program Pemerkasa yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan di bawah Program Pembiayaan Khas Covid-19 yang menyediakan insentif pembiayaan sehingga RM100,000 tanpa cagaran kepada koperasi terjejas yang layak.

Artikel Berkaitan:

“Pada Jun lalu, melalui inisiatif Pemulih pula, peruntukan sebanyak RM20 juta disalurkan sebagai galakan untuk pelaksanaan Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi bagi memulih dan menggerakkan semula aktiviti ekonomi koperasi yang terjejas.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan menerusi kementerian dan agensi di bawahnya mengambil tindakan proaktif dan komitmen untuk memulih dan mengukuhkan semula aktiviti ekonomi koperasi dan menggerakkan koperasi sebagai penyumbang berkesan kepada pembangunan sosio-ekonomi negara,” katanya.

Kata Mas Ermieyati, golongan profesional dan usahawan yang terjejas dan kehilangan punca pendapatan, SKM turut memainkan peranan bagi membantu mereka menerusi pelaksanaan Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR).

“Program ini adalah untuk penggalakan penubuhan koperasi baharu bagi mereka menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi selaras dengan pindaan Akta Koperasi 1993 yang baharu, dengan bilangan minimum lima orang atau 20 orang bagi golongan profesional.

“Penubuhan koperasi membolehkan usahawan dan golongan yang terjejas menggembleng sumber, kepakaran dan pengalaman untuk menjalankan aktiviti ekonomi yang dapat memberikan pulangan yang segera.

“Kumpulan sasar untuk program ini adalah dikhususkan untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan golongan yang terjejas dan hilang punca pendapatan dengan maksimum geran pelaksanaan sehingga RM100,000, peruntukan sebanyak RM5 juta disediakan,” katanya.

Selain itu, katanya bagi koperasi sektor pelancongan antara yang teruk terjejas akibat pandemik pada kali ini, Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi atau Transfer adalah pendekatan terbaik.

Katanya, inisiatif di bawah Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi ini adalah program pemulihan ekonomi koperasi melalui penerokaan peluang dan perubahan kepada perniagaan atau aktiviti ekonomi yang baharu.

“Koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan serta yang tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu, digalakkan untuk menceburi bidang perniagaan yang baharu yang produktif serta mampu memberikan pulangan yang cepat seperti dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, tanaman dan lain-lain perniagaan.

“Objektif inisiatif ini adalah untuk membantu koperasi yang terjejas untuk meneroka peluang perniagaan baharu bagi menyedia dan meningkatkan sumber pendapatan selain menggalakkan koperasi mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan tidak tertumpu kepada satu sumber pendapatan.

“Kumpulan sasar adalah koperasi terjejas khususnya dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri seperti perhotelan, rumah inap, perkhidmatan teksi dan bas, agen pelancongan dan lain-lain dengan geran bantuan berjumlah RM100,000 dan peruntukan sebanyak RM10 juta disediakan,” katanya.

Menjawab pada isu kekurangan barang asas ditambahkan lagi dengan kos sara hidup semakin meningkat, kata Mas Ermieyati, data menunjukkan hampir 30 peratus koperasi di bawah seliaan SKM menjalankan perniagaan pemborongan dan peruncitan yang juga salah satu sektor ekonomi utama dijalankan oleh sektor koperasi.

“Sektor peruncitan koperasi boleh bertindak sebagai ejen untuk membantu menangani kos sara hidup anggota koperasi terutama golongan B40 dan M40 yang semakin meningkat dan terjejas.

“Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) yang diperkenalkan melalui Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai untuk berbelanja dan membeli barangan keperluan harian di kedai koperasi dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran tempatan,” katanya.

Sementara itu, katanya sejak PKP tahun lalu banyak sektor perniagaan mula beralih kepada platform atas talian bagi meningkatkan aksesibiliti dan jualan produk masing-masing.

“Jadi, bagi memastikan koperasi mengadaptasi platform atas talian dalam mengkomersialkan produk atau perkhidmatan sedia ada, Program Dagang Produk/Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (Program e-DAPAT) turut diperkenalkan.

“Program ini dapat membantu koperasi membuat promosi pemasaran dan jualan produk atau perkhidmatan melalui pelbagai platform dan medium atas talian yang menjadi trend pemasaran bagi premis jualan koperasi tidak dapat beroperasi dalam tempoh PKP ini,” katanya.

Katanya, sehingga 30 Jun lalu, menerusi SKM dicatatkan sebanyak 127 koperasi diluluskan permohonan moratorium PKP 3.0 yang melibatkan jumlah sebanyak RM8.3 juta bagi tempoh tiga bulan.

“Moratorium ini dapat membantu koperasi meneruskan kelangsungan aktiviti ekonomi dan menjadi salah satu inisiatif disediakan SKM kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan dengan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM).

“Menariknya, MEDAC turut memberikan tambahan moratorium tiga bulan menjadikan keseluruhan tempoh moratorium bagi koperasi kepada enam bulan,” katanya.