10 menara di Hulu Dungun dinaik taraf: SKMM

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Masalah liputan telekomunikasi yang lemah di beberapa kampung di Hulu Dungun akan dapat diatasi secara berperingkat seawal November depan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, ketika ini 10 menara sedia ada sedang dinaik taraf melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Ia meliputi laluan Kampung Minda hingga ke Pasir Raja yang melibatkan Kampung Talong, Kampung Rantau Panjang, Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongok Batu dan Kampung Shukor.

"Sehingga kini, hanya satu pembekal perkhidmatan sahaja telah selesai menaik taraf menara sedia ada dan dapat memberikan perkhidmatan liputan 4G di kawasan itu.

"Kerja-kerja naik taraf menara yang lain pula dijangka siap secara berperingkat bermula November depan hingga Februari 2022 dan apabila siap kelak, ia bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di kawasan berkenaan," menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Menurutnya, Pengarah SKMM Terengganu Mohd Fairus Muhamad dan Pengurus ICT Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah Hazroll Eizwal Jasni juga telah bertemu dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Minda dan Kampung Talong bagi membincangkan masalah yang dihadapi penduduk sebaik sahaja laporan diterima SKMM.

"Mereka telah bertemu penduduk di kampung sekitar bagi mendapatkan maklum balas berkaitan kualiti liputan selain meninjau infrastruktur di kawasan kampung berkenaan pada 10 Julai lepas.

"Hasil tinjauan di sepanjang jajaran laluan Kampung Minda hingga ke Pasir Raja juga mendapati ia telah diliputi jalinan gentian optik (UNIFI). Justeru, SKMM menyarankan agar penduduk memanfaatkan perkhidmatan ini dengan melanggan pakej yang bersesuaian," kata kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: