Remaja OKU hilang ditemui lemas

Remaja OKU ditemui meninggal dunia akibat lemas di Sungai Liwagu Sugud, Telupid.
Remaja OKU ditemui meninggal dunia akibat lemas di Sungai Liwagu Sugud, Telupid.
A
A
A

RANAU - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) yang hilang sejak Khamis lalu ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas di Sungai Liwagu Sugud, Telupid pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Carlson Konrad, 13, dilaporkan hilang ketika bersama bapanya di kebun mereka di Kampung Miruru di sini.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mengikut laporan yang dibuat bapa mangsa, mangsa disedari hilang selepas terjaga daripada tidur.

Menurut beliau, usaha mencari anaknya terus dilakukan di sekitar kawasan pondok kebun dan sungai berhampiran.

"Bapa mangsa semakin curiga apabila mendapati perahu miliknya yang disimpan di tepi sungai di kawasan itu juga hilang.

"Bimbang dengan keselamatan anaknya, bapa mangsa terus membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan mencari anaknya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Simiun berkata, pihaknya menerima laporan dari Balai Polis Telupid pada jam 8.30 pagi Jumaat memaklumkan penemuan mayat disyaki mangsa kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Ranau untuk tujuan pengecaman dan proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.